MELAKA: Seorang kontraktor rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, pada Khamis, atas pertuduhan membelasah teman wanitanya hingga mengalami kecederaan patah anggota badan.


Ringkasan AI
  • Pertuduhan: Seorang kontraktor rumah bernama See Yong Fei, 35, didakwa membelasah teman wanitanya hingga mengalami kecederaan patah anggota badan. Kejadian ini didakwa berlaku pada 7 Mei di sebuah rumah di Taman Desa Bertam. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
  • Jaminan dan Syarat: Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai. Namun, Mahkamah memutuskan untuk mengikat jaminan sebanyak RM5,000 dan membenarkan syarat tambahan.
  • Kes Berasingan: Dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, See Yong Fei juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kekasihnya yang berusia 14 tahun. Kesalahan ini dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.


Tertuduh See Yong Fei, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Masjitret Khairunnisak Hasni.

Berdasarkan pertuduhan, dia dengan sengaja telah menyebabkan wanita berusia 38 tahun itu cedera parah dengan cara memukul dan menumbuk tangan serta menendang belakang badan menyebabkan patah di beberapa bahagian anggota badan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah bernombor di Taman Desa Bertam, dalam di sini, kira-kira jam 11.28 malam, pada 7 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Dipercayai kejadian berlaku disebabkan mangsa yang tinggal bersama tertuduh telah keluar rumah untuk membeli sayur tanpa keizinan tertuduh.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Manakala tertuduh yang diwakili peguam, Kelvinder Singh Sidhu memohon jaminan dikurangkan iaitu RM5,000 kerana tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap sebagai kontraktor rumah yang dianggarkan RM5,000 sebulan selain menyara lima anak berusia antara enam bulan hingga 15 tahun.

Hujahnya, tertuduh tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dan bukan suami mangsa yang sah.

Hadir sama, peguam pemerhati mangsa, Kent Tan Chow Teng, Cassian Anthony dan Francis Augustine.

Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan membenarkan syarat tambahan dipohon pihak pendakwaan.

Sementara itu dalam prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, dia mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah atas tuduhan melakukan amang seksual terhadap anak kekasihnya itu berusia 14 tahun.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan perbuatan tersebut di alamat sama kira-kira jam 6.30 petang, pada 17 September tahun lalu.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM15,000 sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara berserta syarat tambahan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh serta syarat tambahan perlu melapor diri sekali sebulan di balai polis berhampiran selain tidak mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan kedua-dua kes disebut semula pada 31 Julai depan. -Sinar Harian