KUALA LUMPUR: Skim bantuan tunai seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) perlu diperluaskan kepada M40, dan tidak hanya diberikan kepada golongan B40.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berpandangan pemberian wang tunai yang lebih sistematik perlu dilaksanakan, dengan mengambil kira situasi ekonomi kumpulan kelas pertengahan.

Ujarnya, pelaksanaan tersebut lebih mudah untuk dilakukan berbanding penyasaran subsidi kepada kumpulan 15 peratus teratas atau 85 peratus.

"Kenaikan kadar STR dan SARA, sebenarnya saya rasa mungkin antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan ialah, kalau kita dah selaraskan subsidi, program pemberian wang tunai kepada rakyat ini sebenarnya yang kita pertimbangkan dan, saya rasa kesilapan atau mungkin 'loophole' yang harus diperbetulkan ialah pemberian wang tunai hanya bagi kepada apa yang kita rasa B40.

"Klasifikasi itu pun saya rasa ada banyak orang yang tak bersetuju juga. Jadi mungkin kena ada skim-skim yang macam ini tetapi untuk kelas pertengahan.

"Sebab itu, kita tak boleh anggap kelas pertengahan okay atau mampu beli semua benda, bayar bila, bagi makan anak-anak dan sebagainya," katanya dalam program Dialog Tiga Penjuru yang disiarkan Astro AWANI pada Khamis.

Jelas beliau lagi, penyaluran wang terus kepada penerima melalui akaun bank masing-masing boleh dilaksanakan kerana sistem tersebut telah pun wujud.

Aira juga berpendapat bahawa ucapan Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini mempunyai elemen politik dan tidak sekadar menekankan susun atur polisi kerajaan pada masa depan.

"Kenapa saya kata ada elemen politik dalam ucapan belanjawan sebab kalau elemen politik itu tidak ada langsung, saya percaya perincian maksud T15 dan apa benda yang disebut itu...  dah ada perinciannya terus.

"Kalau kita dengar komen Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), beliau ada mengatakan bahawa 'ucapan belanjawan tak akan kita nak kaji menyeluruh apa itu T15, baru kita umum dalam bajet... Tak boleh macam itu, ia akan ambil masa lama'," ujarnya.

Malah, Aira menambah ucapan belanjawan tidak boleh dijadikan 'benchmark' (penanda aras) terbaik dalam ketelusan kerajaan merancang perbelanjaan negara.

Ia kerana, jelas beliau kerajaan tidak mempunyai cukup masa untuk mengkaji setiap perincian yang diumumkan dalam belanjawan tersebut.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan peningkatan tertinggi bagi STR dan SARA iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan tersebut memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau 60 peratus penduduk dewasa negara.