MANJUNG: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memohon peruntukan khas sebanyak RM10 juta khusus bagi memerangi masalah ulat bungkus yang menyerang pekebun kecil sawit menerusi Belanjawan 2025.

Timbalan Menterinya Datuk Chan Foong Hin berkata masalah itu telah mengakibatkan pekebun kecil sawit di negara ini mengalami kerugian jutaan ringgit setiap tahun dan terbaru ia telah dikesan di Bagan Datuk, Perak dan Bekok, Johor melibatkan 7,500 hektar kawasan.

"Sekiranya hanya menggunakan satu helikopter, dalam sehari sekadar mampu menampung keluasan 500 hektar dan perlu mengambil masa tiga hari untuk menghabiskan proses semburan tidak termasuk kos lain yang dianggarkan mencecah kira-kira RM100,000 sehari.

"Jadi kos ini bukan rendah untuk pekebun kecil kalau tanpa bantuan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), memang sukar bagi mereka mengatasi masalah ini berbanding syarikat besar atau listed company yang ada keupayaan buat kawalan sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Lawatan Kerja Pemantauan Operasi Kawalan Ulat Bungkus dan Sesi Ramah Mesra bersama Pekebun Kecil Sawit di Dewan Orang Ramai, Kampung Banjar, Beruas di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Lembaga MPOB Datuk Dr Azhar Ahmad, Ahli Parlimen Berus Datuk Ngeh Koo Ham dan Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan) Lembaga Minyak Sawit Malaysia Dr Ramlee Moslim.

Chan berkata dengan dana RM1.5 juta buat masa ini, MPOB hanya mampu melaksanakan Kawalan Perosak Bersepadu (IPM) termasuk teknik semburan formulasi udara menggunakan helikopter meliputi kawasan 4,000 hektar.

Dalam pada itu, beliau berkata MPOB telah menggunakan pendekatan IPM yang merangkumi pelbagai teknik termasuk semburan udara atau darat menggunakan biopestisid, perangkap feromon semula jadi dan penanaman tanaman khusus untuk meningkatkan populasi serangga bermanfaat di ladang sawit bagi mengawal pembiakan ulat bungkus.

"Teknik kawalan ulat bungkus di ladang sawit dengan semburan udara menggunakan helikopter yang telah dilaksanakan di Keratong tahun lepas terbukti berkesan membasmi serangan ulat bungkus.

Beliau berkata MPOB berjaya mengurangkan populasi ulat bungkus di ladang sawit dan melalui bancian terkini di Johor, serangan ulat itu melibatkan 19,000 hektar kawasan tanaman sawit berkurangan kepada 2,000 hektar pada 2023.

"Di Perak pula ancaman ulat itu berjaya dikurangkan dengan penurunan populasinya melebihi 95 peratus," katanya.

-- BERNAMA