KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Bangunan Parlimen pada jam 4 petang.

Memakai sepersalinan baju Melayu berwarna ungu lebut, beliau turut ditemani isterinya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Kehadiran Anwar yang juga Menteri Kewangan diiringi Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Kewangan 2, Steven Sim Chee Keong.

Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan media yang menanti kehadiran beliau di lobi Parlimen sebelum bergerak memasuki Dewan Rakyat.

Memegang beg fail dengan tenunan songket di luarnya, Perdana Menteri akan membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Beg hitam dibawa Perdana Menteri yang bermotifkan Arabesque, merupakan hasil tangan pengusaha batik tempatan dari Kelantan, Khairul Aznan yang berisi teks ucapan.

Perdana Menteri bertolak dari Kementerian Kewangan pada jam 3.12 petang dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.