Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana inovasi dan bakat digital perlu diperkasa khususnya dalam bidang AI bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih mampan.
"Malaysia perlu bergerak pantas untuk menerajui bidang tujahan masa hadapan selari dengan ledakan transformasi digital global," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia MADANI di Dewan Rakyat hari ini.
Menteri Kewangan itu berkata ia antara peruntukan sebanyak RM16.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi pada 2024 berbanding RM15.3 bilion tahun ini dalam usaha membekalkan mahasiswa dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan oleh pasaran pekerjaan.
Berikutan sering menerima aduan semasa sesi Siri Temu Anwar Bersama Mahasiswa, beliau mengumumkan RM250 juta disediakan untuk mengganti serta meluaskan capaian Internet (Wi-Fi) di semua universiti awam termasuk RM5 juta bagi melaksanakan projek pendigitalan hospital pengajar universiti.
Selain itu, Anwar berkata RM300 juta disediakan untuk menyelenggara dan memperbaiki prasarana di Institut Pengajian Tinggi serta menggantikan peralatan lama yang usang termasuk RM50 juta bagi perolehan peralatan di empat universiti teknikal Malaysia.
Beliau juga berkata kerajaan akan terus merakyatkan ilmu dengan menggalakkan komuniti rentan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), Orang Asli, ibu tunggal dan warga emas mengikuti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat di kolej komuniti.
Justeru itu, kerajaan menyediakan RM5 juta untuk manfaat 5,000 komuniti tumpuan di 105 kolej komuniti seluruh negara selain RM1 juta kepada setiap universiti awam untuk memperhebat pelaksanaan Program Pengupayaan Komuniti MADANI dan Program Pemulihan Dalam Komuniti OKU.
Menyentuh mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Perdana Menteri berkata kerajaan bersetuju memberi diskaun bayaran balik pinjaman itu bermula esok hingga 31 Mac 2024.
Ia melibatkan diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual.
Anwar juga berkata yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan tidak melebihi RM1,500 supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN bermula Januari tahun depan.
Beliau turut menjelaskan pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftarkan subjek pada setiap semester dengan bayaran boleh dilunas selepas pendaftaran itu dan sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.
-- BERNAMA