KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan memperuntukkan sebahagian daripada wang ihsan Kelantan dan Terengganu untuk disalurkan secara langsung untuk membantu golongan miskin, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam masa sama, Perdana Menteri turut menyambut baik usaha Kerajaan Persekutuan, Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah yang menggunakan sebahagian hasil petroleum ke Sarawak dan Sabah bagi program pembasmian kemiskinan tegar.

“Menyokong hasrat yang sama, kerajaan menyediakan RM30 juta untuk menyokong usaha yang dibuat oleh UNDP (Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia yakni bagi memperbanyak aktiviti berkaitan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

“Ini termasuklah RM10 juta bagi menggerakkan program kebun komuniti di peringkat Parlimen bagi menyokong agenda keterjaminan makanan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2023, di Dewan Rakyat, di sini, pada Jumaat.


Kata Perdana Menteri, sejak awal mengemudi pentadbiran negara, isu utama yang diberi perhatian Kerajaan Perpaduan ialah kos sara hidup rakyat.

“Kerajaan tahun ini menyediakan sehingga RM64 bilion dalam bentuk subsidi, bantuan serta insentif.

“Sejumlah besar dana ini adalah untuk meminimumkan kos sara hidup melalui kawalan harga barang, bantuan kewangan dan memberi perkhidmatan kepada rakyat terbanyak,” ujar Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Ikuti pembentangan Belanjawan 2023 di sini