KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe akan mengadakan lawatan tiga hari ke Malaysia bersempena dengan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur (DPT) Malaysia dan penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-Jepun, bermula 10 hingga 12 Mac ini.

Kementerian Luar Negeri berkata, Shinzo Abe yang merangkap Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida mengadakan lawatan tersebut bagi membincangkan inisiatif-inisiatif kerjasama baharu Malaysia-Jepun pasca pandemik COVID-19.

"Dalam lawatan khas itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah perkenan menerima menghadap Shinzo Abe di Istana Negara.

"Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menerima kunjungan hormat Shinzo Abe dan meraikan beliau dalam satu majlis makan malam, hari yang sama.

"Selain membincangkan inisiatif-inisiatif kerjasama baharu Malaysia-Jepun pasca pandemik COVID-19, Shinzo Abe juga akan menyampaikan perutusan khas daripada Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida kepada Ismail," katanya dalam satu kenyaatan, pada Jumaat.

Wisma Putra dalam pada itu berkata, Shinzo Abe turut dijadualkan menerima penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Politik Ekonomi sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) yang turut diserikan dengan keberangkatan Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tambahnya, lawatan khas Shinzo Abe mencerminkan keakraban dan kerjasama erat dalam pelbagai bidang antara Malaysia dan Jepun.

"Pelaksaan DPT selama empat dekad telah menghasilkan faedah besar, terutamanya dalam aspek pembangunan modal insan serta perdagangan dan pelaburan di antara kedua-dua negara.

"Pada tahun 2021, Jepun merupakan rakan dagang ke-4 terbesar bagi Malaysia dengan nilai dagangan dua hala RM149 bilion. Sehingga Disember 2021, Jepun merupakan pelabur terbesar berdasarkan jumlah projek dilaksanakan dalam sektor pembuatan dengan nilai keseluruhan RM90.9 bilion," jelasnya.