PUTRAJAYA: Bekas pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk memberi maklumat berkaitan fahaman kumpulan tersebut kepada jawatankuasa khas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, maklumat daripada bekas pengikut tersebut penting untuk membolehkan isu berkaitan kumpulan berkenaan dimuktamadkan sama ada ia menyeleweng atau sebaliknya.

"Saya telah maklumkan kelmarin bahawa kita akan wujudkan jawatankuasa khas untuk melihat secara terperinci isu GISBH ini sebab saya lihat sejak dahulu lagi memang ada kajian telah dibuat mengenai GISB untuk di bawa masuk dalam Mesyuarat Kebangsaan Hal Ehwal Islam.

"Apa jawatankuasa yang dibentuk di bawah saya ini, kita akan selesaikan dan muktamadkan kajian berkaitan GISBH sebelum ini.

"Ia termasuklah kita akan panggil bekas pengikut GISB untuk kita dapatkan maklumat yang sebenarnya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024 di sini pada Isnin.

Mohd Na'im pada Jumaat dilapor berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan GISB seterusnya membanteras jika ada fahaman dan ajarannya yang menyeleweng.

Beliau berkata, jawatankuasa khas itu akan berada di bawah seliaan pejabatnya yang menjalankan fungsi membantu memberikan sokongan data dan kajian kepada pihak berkuasa termasuk kepada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan, seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal dikaitkan GISB di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun, selain menahan 171 individu termasuk ustaz yang mengendalikan premis yang diserbu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Mohd Na'im turut menjelaskan hasil dapatan yang diperoleh jawatankuasa khas di bawah seliaannya itu nanti akan juga turut dibentang kepada Jawatankuasa Muzakarah MKI.

Pembentangan itu dijangka dibuat pada Oktober melibatkan semua mufti di negeri-negeri.

"Isu berkaitan status sesat atau tidak (GISB ini) kita akan bawa kertas ke MKI terlebih dahulu," katanya.

Beliau pada masa sama turut memaklumkan kebajikan kanak-kanak dan wanita yang diselamatkan pihak polis dalam operasi khas itu juga turut diberi perhatian. -- Sinar Harian