GEORGE TOWN: Tiga individu termasuk seorang bekas anggota polis ditahan selepas dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah jenis ganja.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan sekitar pukul 7.30 malam pada 13 dan 14 Januari lalu di Jalan Bendahari, Penaga, Kepala Batas.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 453 ketulan mampat daun-daun kering berbalut kertas keemasan seberat 451.87 kilogram bernilai RM1.13 juta.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek lelaki berusia 33 tahun di tahan di tepi jalan di hadapan rumahnya bersama 10 ketulan mampat daun kering bernilai RM25,000 yang diletakkan di bawah tempat duduk motosikalnya.

Tangkapan pertama, kata beliau, membawa kepada penemuan 443 ketulan mampat ganja yang disimpan di dalam bilik khas di rumah teres setingkat milik suspek.

Dalam serbuan itu, polis, kata Mohd Shuhaily, menahan isteri suspek di rumah yang dipercayai menjadi tempat simpanan bekalan dadah yang dibawa masuk dari negara jiran.

“Dalam serbuan ketiga, pihak polis telah membuat serbuan di kawasan sama dan menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai dalang sindiket ini.

“Hasil risikan, sindiket dadah ini telah bergiat awal tahun 2022… dadah  yang dirampas ini adalah untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan hampir 906,740 penagih,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang, di sini, pada Isnin.

Polis turut merampas 453 ketulan mampat daun-daun kering berbalut kertas keemasan seberat 451.870 kilogram bernilai RM1.13 juta. - Gambar Astro AWANI




Mohd Shuhaily berkata, suspek utama kes ini sudah bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran tersebut sejak 2022.

Beliau berkata, siasatan mendapati, suspek pertama dipercayai menjadikan kegiatan itu sebagai sumber pendapatan selepas ditamatkan perkhidmatan sebagai anggota polis.

“Suspek pertama adalah seorang bekas anggota polis yang telah dibuang kerja pada tahun 2018 dan beliau anggota polis yang tempat tugasan terakhir di Marang, Terengganu.

“Apa juga penyalahgunaan, saya lihat ini adalah tindakan serius dan dalam ini saya melihat tindakan buang kerja adalah  satu tindakan tepat oleh PDRM,” ujar Mohd Shuhaily lagi.

Selain dadah, beliau berkata, polis turut menyita tiga buah kereta bernilai RM345,000, dua buah motosikal (bernilai RM34,500) dan wang tunai bercampur bernilai RM37,000.

Mohd Shuhaily berkata, semakan mendapati seorang suspek positif dadah jenis THC, manakala, dua lagi negatif.

Ketiga- tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Januari hingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B)  Akta Dadah Berbahaya ( ADB).