KUALA TERENGGANU: Bekalan ayam di Terengganu semakin kritikal apabila kebanyakan gerai jualan runcit di tepi jalan tidak beroperasi pada Khamis kerana sumber makanan itu terputus.
Tinjauan Sinar Harian di kebanyakan gerai jualan ayam di daerah ini mendapati bekalan ayam segar berkurangan dan tidak mampu menampung permintaan.
Pekerja kedai runcit dan borong ayam, Syed Ahmad, 25, berkata, buat masa ini jualan ayam terpaksa dicatu dan hanya dijual kepada pelanggan tetap.
"Sebelum ini kita dapat dalam 2,000 ayam sehari untuk dibekalkan kepada pelanggan tetap dan jualan runcit. Sekarang berkurangan 50 peratus iaitu sekitar 1,000 ekor.
"Buat masa ini 100 ekor sahaja yang boleh dijual secara runcit kerana kita sudah ada 20 pelanggan borong tetap yang ambil bekalan setiap hari," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Syed berkata, masalah kekurangan bekalan ayam sudah berlarutan sejak sebulan lalu dan situasi itu semakin kritikal sejak tiga hari lalu.
"Bekalan ayam mula terputus dan berkurangan sejak Januari lalu.
"Masuk bulan Februari bekalan ayam semakin berkurangan dan hari ini (Khamis) bekalan ayam bertambah kritikal.
"Awal Januari lalu kita pernah tutup kedai selama tiga hari kerana tiada langsung bekalan ayam.
"Dalam sebulan mesti ada tutup dua atau tiga hari kedai termasuk sebelum Tahun Baharu Cina sebab bekalan terputus.
"Bayangkan 500 kilogram ayam yang diperoleh hari ini habis dalam tempoh 10 minit sahaja kerana pelanggan siap sedia menunggu ayam sejak awal pagi," katanya yang memperoleh bekalan ayam dari pembekal di sekitar Terengganu.
Syed berkata, harga jualan borong bagi sekilogram (kg) ayam ialah RM8.80 manakala harga runcit RM9.30.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Pasar Bukit Besar di sini mendapati tiga gerai yang menjual ayam habis seawal jam 10 pagi.
Peniaga ayam, Mohd Hilmi Harun, 34, berkata, bekalan ayam diperoleh hari ini hanya 30 ekor berbanding 60 ekor pada hari kebiasaan.
"Ayam tak dapat banyak hari ini, boleh jual 30 ekor sahaja sebab bekalan susah nak dapat.
"Masalah kekurangan bekalan ayam ini mula dirasai bermula perayaan Tahun Baharu Cina dan ia berlarutan sampai sekarang," katanya yang menjual ayam pada harga RM10 sekilogram.
Ditanya mengapa harga jualan melebihi harga kawalan (RM8.90), Mohd Hilmi berkata, ayam yang diperoleh daripada pembekal sudah mahal iaitu mencecah RM9 sekilogram.
"Tak boleh jual ikut harga kawalan kerana untung yang kita dapat ini pun sudah nipis sangat. Kalau kita jual harga kawalan memang kita tidak mampu balik modal niaga.
"Pernah juga saya tidak berniaga sebab bekalan langsung tak ada. Hari ini mujurlah dapat juga jual 30 ekor ayam," katanya yang menyifatkan keadaan itu paling teruk sepanjang 10 tahun berniaga ayam.
Sementara itu, seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Iwan berkata, hari ini dia hanya boleh menjual 10 ekor ayam di pasar itu.
"Bekalan ayam diperoleh hari ini 13 ekor. Tiga ekor sudah simpan untuk pelanggan tetap iaitu peniaga makanan dan tinggal 10 ekor sahaja yang boleh dijual kepada pelanggan.
"Selebihnya saya ada jual puyuh untuk menampung stok ayam yang berkurangan dan tiada di pasaran," katanya.
Senada dengan Iwan, seorang lagi peniaga yang hanya dikenali sebagai Ghani berkata, bekalan ayam 160kg yang diperoleh hari ini tidak mampu menampung permintaan.
"Hari ini bekalan ayam amat berkurangan dan kita terpaksa jual kepada pelanggan yang sudah menempah lebih awal.
"Sebenarnya bekalan ayam tidak menentu sejak selepas Tahun Baharu Cina, ada hari ada, ada hari sehingga dua, tiga hari ayam tiada dan saya terpaksa tutup kedai," katanya.
Menurutnya, jualan ayam terpaksa dinaikkan antara RM11 hingga RM11.50/kg kerana harga modal bagi sekilogram ayam dibeli meningkat kepada RM9.70/kg.
Katanya, situasi kali ini adalah yang terburuk sejak dia menjalankan perniagaan ayam segar 20 tahun lalu.
Bekalan ayam semakin kritikal hasil tinjaun di kebanyakan gerai jualan ayam di Kuala Terengganu.
"Sepanjang pengalaman saya berniaga, situasi dialami sekarang adalah yang terburuk. Belum pernah bekalan ayam terputus dalam mana-mana musim perayaan.
"Saya juga tak boleh komen lebih-lebih mengenai bekalan ayam kerana bimbang pembekal 'banned' dan tidak menjual ayam kepada saya," katanya yang terpaksa mencari sehingga lima dan enam pembekal ayam bagi menampung permintaan.
Menurutnya, harga ayam pencen turut meningkat kepada RM11 seekor berbanding RM8 sebelum ini.
"Kalau sebelum ini ramai juga yang beli ayam pencen sebab ayam segar habis, kali ini harga ayam pencen juga naik RM3," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan. Mohd Jusoh, 56, berkata, hari ini dia tidak dapat membeli ayam walaupun telah pergi ke enam kedai kerana sudah habis dijual.
"Ada lima, enam tempat juga saya pergi malangnya ayam sudah habis. Semalam pun sama, tapi mujurlah saya masih sempat beli separuh ayam.
"Hari ini nak cari seekor untuk buat lauk pun susah kerana banyak kedai di tepi jalan tidak beroperasi kerana bekalan ayam tiada. Jadi, saya terpaksa juga beli ikan untuk makan hari ini," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian
Sinar Harian
Thu Feb 10 2022

Mohd Hilmi menunjukkan baki dua ekor ayam yang sudah ditempah pelanggan di gerainya di Pasar Bukit Besar. -Foto Sinar Harian

Donald Trump gelar Volodymyr Zelenskyy 'diktator'
Presiden Amerika gesa Presiden Ukraine bertindak segera capai perdamaian atau bakal kehilangan negara.

Tiga Olimpian ketuai cabaran ATC Putrajaya
ATC Putrajaya akan menyaksikan ketiga-tiga atlet berkenaan bersaing bersama 119 triatlet elit dari 20 negara.

Bahrain tekankan perpaduan dan kewujudan bersama dalam hal ehwal Islam
Bahrain juga komited memastikan perpaduan dan kewujudan bersama secara aman kekal sebagai asas kepada kemajuan negara.

Dunia perlu sokongan pelan pembangunan semula Gaza tanpa pemindahan penduduk - Presiden Mesir
Badr Abdelatty berkata, Mesir sedang merangka satu konsep menyeluruh dan berperingkat bagi pembangunan semula Gaza.

Google bayar US$340 juta kepada Itali selesaikan kes cukai tertunggak
Google dan pihak berkuasa kewangan Itali capai persetujuan serta menyelesaikan audit cukai bagi tempoh 2015 hingga 2020 tanpa prosiding undang-undang.

Rusia sedia sambung perbincangan berkenaan Ukraine - Putin
Dalam masa sama, kata Putin, membina semula kepercayaan dengan Amerika Syarikat adalah penting bagi mencapai kemajuan bermakna.

WHO lapor penyakit baharu belum dikenal pasti di DR Congo
Dua kluster kes dan kematian berkaitan penyakit tidak dikenal pasti itu telah dikesan di dua zon kesihatan di Wilayah Equateur, DR Congo.

ACLE: Ini sebab Shandong Taishan tarik diri walau layak ke pusingan 16
Keputusan dibuat disebabkan ketidakselesaan fizikal yang serius membabitkan pemain-pemain dan selepas penilaian dibuat oleh pasukan perubatan.

Shandong Taishan tarik diri saingan ACL Elite, laluan JDT masih samar
Shandong Taishan FC memutuskan untuk tidak menyertai perlawanan Peringkat Liga Zon Timur menentang Ulsan HD FC dari Korea Selatan semalam.

Melaka perhebat program gotong-royong hapus Aedes
Usaha itu selaras dengan komitmen berterusan Jabatan Kesihatan Negeri dalam memusnahkan tempat pembiakan yang boleh merisikokan penduduk.

Bekalan ayam di Terengganu makin kritikal
Tinjauan di kebanyakan gerai jualan ayam di daerah ini mendapati bekalan ayam segar berkurangan dan tidak mampu menampung permintaan.