Gangguan bekalan air yang menjejaskan 85 peratus penduduk di pulau bebas ini sejak lebih seminggu, akan pulih secara berperingkat mulai 17 Julai.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata kerja pembaikan pam paip utama yang bocor dari sumber utama di Pulau Enoe telah siap lewat petang semalam (Selasa).

"Jabatan Air akan melakukan kerja pengepaman air berikutan kerja pembaikan telah selesai ...ia akan mengambil masa beberapa hari untuk sampai ke tangki dan kemudiannya kepada pengguna.

"Staf teknikal jabatan akan melakukan yang terbaik dalam memastikan bekalan air pulih sepenuhnya pada 19 Julai," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata bantuan teknikal oleh Petronas Chemical dan subkontraktor PMP dan Empada telah membantu kerja pembaikan yang berdepan masalah berikutan cuaca buruk dan banjir yang melanda kawasan itu.

-- BERNAMA