Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesyorkan beberapa kes yang telah didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan di mahkamah.

Perkara ini dimaklumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini semasa menjelaskan mengenai tindakan susulan terhadap penjawat awam yang didapati bertanggungjawab melakukan salah laku dan kecuaian dalam laporan audit tersebut.

“Sehingga 21 Februari 2014 sebanyak 18 kertas siasatan telah dibuka oleh SPRM. Kesemua kes telah pun selesai dijalankan siasatan. Kes-kes berkenaan telah pun dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara dan tindakan lanjut juga perlu diambil berhubung keterangan saksi,” kata Ali Hamsa dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, daripada 18 itu, kes-kes yang tidak disyorkan untuk tindakan pertuduhan telah disyorkan untuk tindakan tatatertib.

Antara kes yang disiasat oleh SPRM berdasarkan teguran yang dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 ialah:

Tambah beliau, sebagai langkah panjang, SPRM bukan sahaja memfokuskan kepada tindakan punitif melalui penyiasatan sahaja, tetapi juga melihat aspek penambahbaikan terhadap amalan, sistem dan prosedur melalui khidmat pemeriksaan dan perundingan.

“Ini bertujuan bagi memastikan kelemahan-kelemahan yang boleh membuka ruang dan peluang perlakuan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa diperbaiki,” katanya.

Pada masa yang sama, Ali Hamsa berkata terdapat sebanyak 378 teguran telah dibuat dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 yang melibatkan 111 (29%) teguran bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan, 38 (10%) teguran bagi Badan Berkanun dan 229 (61%) teguran bagi negeri.

“Sebanyak 267 (71%) teguran audit melibatkan penambahbaikan peraturan, prosedur dan proses kerja dan tindakan penambahbaikan ini telah dan sedang diambil oleh agensi terlibat. Manakala 111 (29%) teguran melibatkan 121 kes penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, salah laku atau kecuaian pelaksanaan tugas,” katanya.

Bagi kes salah laku dan kecuaian lain yang melibatkan urusan tatatertib, Ali Hamsa berkata terdapat 24 kes yang melibatkan 140 pegawai yang dikenalpasti untuk dimulakan prosiding tatatertib dan surcaj.

Daripada jumlah tersebut, 99 pegawai telah dimulakan prosiding di bawah tatatertib, 12 pegawai dimulakan prosiding di bawah tatatertib dan surcaj dan 29 pegawai dimulakan prosiding di bawah surcaj.

Salah laku 140 pegawai tersebut mengikut kes adalah seperti berikut: