Polis katanya akan memanggil beberapa saudara terdekat Allahyarham Nazrin dan beberapa pihak berkaitan bagi membantu siasatan berdasarkan laporan yang dibuat mangsa sebelum ini.
"Kita (polis) masih meneruskan siasatan. Kita tidak akan menghentikan siasatan sampai kita berpuas hati, sampailah kes ini dapat diselesaikan. Sama ada (wujud) ugutan atau apa yang berlaku.
"Jangan bimbang akan polis akan terus jalankan siasatan. Kita akan tengok dan panggil (pihak berkaitan) untuk penjelasan," katanya selepas hadir pada program Kayuhan Solidariti Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan yang mendakwa Nazrin menerima ugutan bunuh tiga bulan sebelum ditemui mati.
BACA: Kronologi kes kematian CEO Cradle Fund Nazrin Hassan
Nazrin yang menganggap ugutan itu serius dikatakan telah membuat laporan polis.
Polis kemudian dikatakan telah mengesan panggilan telefon itu dibuat oleh saudara terdekatnya.
BACA: CEO Cradle Fund buat 4 laporan polis sebelum dijumpai mati
Bagaimanapun Nazrin kemudiannya dipercayai menarik balik laporan berkenaan.
Nazrin ditemui mati dalam kebakaran di rumahnya di Mutiara Homes, di Petaling Jaya, kira-kira jam 12.20 tengah hari, 14 Jun lalu.
Kematiannya kemudian diklasifikasikan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan bomba menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.