KOTA BHARU: Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan maut selepas tercampak ke dalam tali air dalam kejadian di Kampung Tok Belian, Pengkalan Petah di Bachok, semalam.

Semasa kejadian mangsa dipercayai dipegang abangnya berusia lapan tahun yang bersama tiga kanak-kanak lain membonceng motosikal roda tiga ditunggang seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun untuk bersiar-siar.

Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku ketika motosial roda tiga dinaiki ke enam-enam kanak-kanak itu sedang melalui satu jambatan di kampung itu untuk menghala ke rumah mereka.

"Motosikal roda tiga yang ditunggang mereka dipercayai hilang kawalan menyebabkan kesemua kanak-kanak itu tercampak ke dalam tali air.

"Lima kanak-kanak yang lain berjaya diselamat penduduk kampung kecuali bayi tersebut yang ketika kejadian dipercayai dipegang abang kandungnya berusia lapan tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan berhubung insiden itu pada 7.20 malam.

Mohamad Ismail berkata operasi mencari dan menyelamat bayi itu dilakukan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, sebelum mayat mangsa ditemukan pada 8.10 malam di dasar tali air kira-kira empat meter dari lokasi kejadian.

Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Beliau berkata pegawai perubatan mengesahkan bayi itu meninggal dunia akibat lemas dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Hasil siasatan juga mendapati motosikal roda tiga yang ditunggang remaja itu tiada cukai jalan dan insurans," katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan anak-anak berusia 18 tahun ke bawah menunggang motosikal tanpa lesen dan cukai jalan

-- BERNAMA