IPOH: Pemandu bas ekspres yang terbabit kemalangan dengan sebuah lori tangki di kilometer (KM) 290.9 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), arah selatan di sini mempunyai 15 rekod saman trafik termasuk dua kesalahan kemalangan.


Ringkasan AI
  • Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan di KM 290.9 PLUS arah selatan mempunyai 15 saman trafik dan bas tersebut mempunyai 38 saman terkumpul.
  • Kemalangan berlaku pada pukul 5.30 pagi kerana bas hilang kawalan dan melanggar belakang lori tangki, menyebabkan 10 orang cedera.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi diminta membantu siasatan.


Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, semakan juga mendapati bas ekspres tersebut mempunyai 38 saman terkumpul.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku pada 5.30 pagi itu berlaku selepas bas yang membawa 25 orang penumpang itu hilang kawalan dan terlanggar belakang lori tangki muatan simen.

"Pemandu bas itu merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun yang memandu dari arah Sungai Nibong, Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.

"Apabila sampai di tempat kejadian telah hilang kawalan dan terlanggar bahagian belakang lori muatan simen yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun, juga dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, 10 mangsa termasuk pemandu dan penumpang bas berusia antara 13 hingga 60 tahun dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

"Manakala 16 orang lagi mangsa termasuk pemandu lori tidak cedera," katanya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Ujar Abang Zainal Abidin lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa).

Justeru, beliau meminta saksi yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Edwin Tang Chiew Song, di talian 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seramai lima orang cedera apabila sebuah bas ekspres yang membawa 26 penumpang merempuh bahagian belakang sebuah treler di Kilometer (km) 290 Lebuhraya Utara Selatan PLUS, arah selatan awal pagi tadi.

Kemalangan itu menyebabkan pemandu bas tersepit dan empat orang penumpang cedera.