KUALA LUMPUR: Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) berpandangan harga siling bagi tiket bas ekspres kelas ekonomi perlu dipertimbangkan untuk dinaikkan bagi mengurangkan kesan kerugian yang ditanggung syarikat pengusaha bas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.


Ringkasan AI
  • Harga Siling dan Lantai: Harga siling bagi tiket bas ekspres kelas ekonomi ditetapkan sebanyak 0.09 sen setiap kilometer dan tidak berubah sejak 2008. Bagi kelas eksekutif, harga lantai yang ditetapkan adalah sebanyak 15 sen bagi setiap kilometer.
  • Penyasaran Subsidi Diesel: Penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa pada 10 Jun lalu di Semenanjung Malaysia dengan harga ditetapkan RM3.35 seliter.
  • Cadangan untuk Meningkatkan Kapasiti Tempat Duduk: Laili mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempat duduk bas ekspres bagi kelas ekonomi dengan konsep 22, manakala kelas eksekutif menggunakan konsep 21. Langkah ini boleh meningkatkan kapasiti tempat duduk penumpang dan mengurangkan kerugian syarikat pengusaha bas ekspres.


Yang Dipertuanya, Laili Ismail berkata ketika ini harga siling bagi kelas berkenaan ditetapkan sebanyak 0.09 sen setiap kilometer dan tidak berubah sejak 2008.

Sementara bagi kelas eksekutif, harga lantai yang ditetapkan adalah sebanyak 15 sen bagi setiap kilometer, jelas beliau.

“Bagi kelas ekonomi, ia tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia dikawal oleh kerajaan.

“Namun bagi kelas eksekutif, harga lantai (15 sen) tak boleh turun tetapi boleh dinaikkan tanpa kebenaran kerajaan,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin.

Penyasaran subsidi untuk diesel berkuat kuasa pada 10 Jun lalu di Semenanjung Malaysia dengan harga ditetapkan RM3.35 seliter.

Mengulas lanjut, Laili berpandangan ramai pengusaha bas ekspres juga kemungkinan akan beralih daripada menggunakan tambang ekonomi kepada tambang eksekutif susulan peningkatan kos.

"Saya berpandangan ramai yang akan berubah ke kelas eksekutif sebab kenaikan kos ini dan kita tak mampu menampung kenaikan tersebut.

"Sejak PKP, kenaikan harga barangan seperti saya beli (sebuah bas) dengan harga RM950,000 sebuah tetapi tahun ini bila nak beli sudah naik kepada RM1.2 juta," tambah beliau.

Dalam masa sama, Laili turut mencadangkan kepada kerajaan agar menetapkan tempat duduk bas ekspres bagi kelas ekonomi dengan konsep 2+2, manakala kelas eksekutif (2+1).

Langkah tersebut, jelas beliau boleh meningkatkan kapasiti tempat duduk penumpang, sekali gus mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung syarikat pengusaha bas ekspres.