KUALA LUMPUR: Dianggarkan lebih RM3 juta kos tambahan terpaksa ditanggung oleh 25 syarikat bas yang beroperasi di bawah Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, baru-baru ini.


Ringkasan AI
  • Kos Tambahan: Menurut Pembawa, kira-kira RM3 juta kos tambahan perlu ditanggung oleh 25 syarikat bas. Ini melibatkan 800 buah bas dengan kos sebanyak RM3,957 bagi setiap bas, berdasarkan penggunaan 10,000 liter diesel sebulan.
  • Permintaan Kuota Subsidi Diesel Penuh: Yang Dipertua Pembawa, Laili Ismail menyeru agar kerajaan memberi kuota subsidi diesel penuh sebanyak 10,000 liter sebulan (berbanding 6,000 liter yang diluluskan ketika ini). Kenaikan harga diesel menyebabkan pengusaha bas terpaksa memperuntukkan kos tambahan, dan subsidi yang diberi masih tidak memadai untuk meneruskan operasi perkhidmatan.
  • Krisis Kewangan dan Cadangan: Syarikat bas berdepan krisis kewangan kritikal yang bakal menjejaskan operasi perkhidmatan. Pembawa mencadangkan agar kerajaan membuka semula kuota tambahan subsidi diesel sehingga 2023 sebelum ia dihapuskan pada 2024.


Kenaikan tersebut melibatkan 800 buah bas dengan kos yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM3,957 bagi setiap buah bagi pengunaan 10,000 liter sebulan.

Justeru, Yang Dipertua Pembawa, Laili Ismail menyeru agar kerajaan mempertimbangkan untuk memberi kuota subsidi diesel penuh sebanyak 10,000 liter sebulan berbanding 6,000 liter yang diluluskan ketika ini bagi mengurangkan beban pengusaha bas.

“Kesan kenaikan harga diesel menyebabkan pengusaha bas eskpres terpaksa memperuntukkan kos perbelanjaan tambahan yang besar bagi tujuan pengisian diesel walaupun setelah diberi kuota subsidi sehingga 6,000 liter.

“Ini menunjukkan bahawa subsidi yang diberi masih tidak memadai untuk membantu para pengusaha meneruskan operasi perkhidmatan.

“Kenaikan harga diesel turut memberi kesan lebih buruk terhadap kelangsungan operasi bas ekspres yang telah sedia terjejas kerana ketidakseimbangan yang berlaku dalam industri bas ekspres, dimana tiada kenaikan harga tiket sejak 2008 sedangkan perbelanjaan kos operasi terus meningkat saban tahun,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di ibu negara pada Isnin.

Penyasaran subsidi diesel berkuat kuasa pada 10 Jun lalu di Semenanjung Malaysia dengan harga ditetapkan pada RM3.35 seliter.

Mengulas lanjut, Laili berkata 25 syarikat ahli yang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia juga kini berdepan krisis kewangan kritikal yang bakal menjejaskan operasi perkhidmatan.

Bagi mengurangkan kos yang ditanggung, beliau memaklumkan terdapat pengusaha  bas ekspres terpaksa mengurangkan operasi mereka.

“Kita masih lagi berusaha berunding dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Hidup (KPDN) bagi menambah kuota terkini diesel.

“Kita cukup yakin kerajaan akan mendengar permasalahan ini dan memberi pertimbangan kerana industri ini ialah sangat diperlukan oleh rakyat Malaysia.

“Begitu pun, kita berterima kasih kepada kerajaan kerana telah meluluskan kuota subsidi sehingga 6,000 liter dalam tempoh yang singkat,” ujarnya lagi.

Laili dalam masa sama berkata, Pembawa turut mencadangkan kepada kerajaan agar membuka semula kuota tambahan yang pernah dilaksanakan sehingga 2023 sebelum ia dihapuskan pada 2024.

“Kuota tambahan tersebut bagi subsidi diesel mengikut penggunaan sebenar sesebuah syarikat,” katanya.