Pelajar tingkatan dua yang menjadi mangsa buli di Sungai Petani, Kedah pada 28 Ogos lalu mula sedarkan diri.

Muhammad Anas Amir menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku pada selaput otak sebelah kanan pada 29 Ogos.

Menurut Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, doktor berjaya mengeluarkan 40cc darah beku dalam pembedahan yang berlangsung selama sejam itu.

Sementara itu, bapa mangsa Amir Ahmad bersyukur dengan perkembangan positif yang ditunjukkan anaknya itu.

“Setakat ini, dia belum boleh bercakap lagi, tetapi Alhamdulillah keadaan dia pun sudah stabil.

“Dia ada cakap mahu makan bubur dan nasi ayam,” kata Amir.

Tambahnya, dia juga bersyukur kerana kecederaan pada kepala anaknya itu tidak menjejas otaknya.

Muhammad Anas mengalami pendarahan dalam kepala selepas dipercayai dipukul tiga pelajar senior pada 28 Ogos lalu.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi itu, mangsa dikatakan dipukul dan dihentak pada dinding ekoran salah faham selepas dia menarik tangan seorang rakan sekelas untuk masuk ke dalam bilik darjah.