Isteri mangsa dan seorang lagi anak, yang merupakan kembar kepada anak yang maut itu, bagaimanapun terselamat.
Mangsa dikenali sebagai Muhd Ridzo Fadzly Rosely, 37 tahun, berasal dari Kedah.
Anaknya yang maut dikenali sebagai Ahmad Ariffin.
Ketika kejadian, mangsa yang memandu Proton Persona dipercayai gagal mengelak, lalu merempuh lori membawa muatan tilam.
Isteri dan bayi mangsa, dipercayai duduk di bahagian belakang penumpang, berjaya dikeluarkan pengguna jalan raya.
Kerja-kerja mengeluarkan mangsa mengambil masa 90 minit.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Md Asri A. Wahab berkata, siasatan awal mendapati kereta yang dipandu Muhd Ridzo Fadzly dalam perjalanan menghala ke Kuala Lumpur dari Kedah dipercayai hilang kawalan sebelum terlanggar dan terperosok di bawah treler, yang bergerak di hadapannya.
"Akibat kemalangan itu, mangsa bersama anaknya yang merupakan penumpang hadapan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala isteri dan seorang lagi anaknya cedera parah," katanya menurut laporan Bernama.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat manakala kedua-dua mangsa yang cedera parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.