Dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dari Kampung Sri Jaya di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintenden, Mohamad Zamri Mohama Zaber berkata, anak perempuan mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung New Zealand dilaporkan cedera.
Menurutnya, pemandu lori, seorang lelaki berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Siasatan awal mendapati, mangsa bersama anaknya menaiki motosikal jenis Demak EX90 dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah di Sri Jaya dari arah Maran.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak sebuah lori dari arah bertentangan yang membelok masuk ke simpang kanan lalu terlanggar bahagian belakang kenderaan tersebut," katanya.
Mohamad Zamri berkata, akibat kejadian mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum mayatnya dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.
"Anak mangsa yang cedera dihantar ke Klinik Kesihatan Maran untuk mendapatkan rawatan," katanya.
Tambah beliau, hasil ujian saringan awal air kencing ke atas pemandu lori mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut.
"Kemalangan meragut nyawa penunggang itu disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Pemandu lori turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. - Sinar Harian