Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) menawarkan bantuan kepada Kementerian Pelajaran untuk mewujudkan kesedaran tentang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di
sekolah melalui "Program OSH Di Sekolah."

Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata OSH perlu diperkenalkan di sekolah berikutan berlaku kemalangan yang melibatkan guru, pelajar dan petugas lain akibat runtuhan struktur bangunan, kipas siling, tiang gol, tandas dan malah letupan berpunca daripada bahan kimia.

"Keselamatan dan kesihatan amat penting di sekolah. Kemalangan seperti itu tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi di sekolah kerana ibu bapa amat mengharapkan anak mereka selamat di situ," katanya dalam kenyataan di sini hari Selasa.

Lee berkata pelaksanaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) di sekolah sebagai tempat bekerja bertujuan menjadikan sekolah sebagai tempat yang selamat dan sihat untuk guru, pelajar dan pelawat.

Ia bertujuan menjamin keselamatan, kesihatan dan kebajikan mereka yang sedang bekerja serta melindungi pelajar daripada menerima kesan buruk dari segi kesihatan dan keselamatan akibat kegiatan pekerja lain.

Lee berkata, tidak ramai tahu tentang "Program OSH Di Sekolah" yang meliputi satu lagi dimensi serta melihat sekolah sebagai tempat bekerja mengikut OSHA 1994.

Melalui program ini, kata beliau, NIOSH berharap dapat mengesyorkan kaedah pengurusan OSH yang berkesan melalui aktiviti penyebaran pendidikan, kesedaran, penerangan dan pameran untuk memastikan pekerja menyedari tentang risiko yang dihadapi mereka ketika berada di tempat kerja dan cara untuk bekerja dengan selamat bagi menangani risiko yang dihadapi.

"Di samping itu, menyemai kesedaran sejak peringkat awal amat penting dalam usaha mewujudkan tempat kerja yang selamat dan sihat. Diharapkan, program ini akan memberi manfaat kepada pelajar," katanya.

NIOSH berjaya memperkenalkan program ini sebagai projek tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) kepada beberapa sekolah dengan tajaan badan korporat.