Beliau berkata perkara itu penting untuk memastikan kelancaran agensi pengurusan bencana dalam menyalurkan bantuan yang diperlukan, lebih-lebih lagi kawasan yang terputus hubungan.
"Ini kerana orang kita sendiri (Jabatan Kebajikan Masyarakat) sukar untuk masuk menghantar bantuan seperti khemah ke kawasan seperti Bekenu dan Sibuti di Miri disebabkan paras air yang meningkat.
"Selain itu, menerusi pengurusan bencana, bantuan yang mahu disalurkan oleh pihak NGO atau individu dapat dipantau agar sesuai dengan kehendak serta keperluan sebenar mangsa," katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Haji Kamarudin Kampung Segedup di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu memastikan semua nama mangsa banjir didaftarkan.
"Mereka yang terjejas akibat bencana ini layak menerima bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap keluarga dan maklumat ini perlu dimaklumkan kepada mereka yang terkesan.
"Pendaftaran ini bukan bermakna bantuan akan diterima serta-merta hari ini atau esok, tetapi ia langkah awal bagi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya.
Selain itu, beliau berkata JKM juga berperanan untuk memastikan PPS yang menempatkan mangsa banjir berada dalam keadaan baik dan selesa.
-- BERNAMA