HULU TERENGGANU: Sedih dan pilu apabila rumah yang didiami sejak 16 tahun lalu roboh dan ditenggelami lumpur hampir dua meter.

Menurut Endon Ismail, 67, hatinya luluh apabila melihat kediamannya di Kampung Belukar Bukit, Hulu Terengganu dihempap dan dibanjiri puing sebaik pulang dari rumah rakannya.

Endon berkata, kejadian itu dipercayai akibat fenomena kepala air di sungai berhampiran yang menyebabkan aliran air beralih ke arah rumahnya.

"Ketika itu air telah surut kira-kira jam 7 malam. Tiab-tiba air datang berombak-ombak.

"Sebelum ini keadaan ini terjadi di kawasan lain, tak sangka ia akan berlaku di sini jadi tak ambil barang, tak ambil apa," katanya.

Endon berkata, insiden itu adalah pertama kali berlaku di kampung berkenaan dan hampir meragut nyawa mereka sekeluarga.

"Sedih, bimbang juga dengan adanya anak kecil berusia dua tahun duduk atas bumbung.

"Lajunya air, kayu balak pun tiba-tiba ada di depan pintu.

"Ini kali pertama sepanjang kita hidup kata orang berlaku keadaan begini di kawasan ini," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Endon turut melahirkan kebimbangan berikutan masih terdapat sisa kayu di kawasan laluan sungai itu dan berharap tindakan sewajarnya diambil pihak berkaitan.