KUALA LUMPUR:Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru pihak-pihak berkuasa berkaitan, khususnya Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya terus menghulurkan segala bentuk bantuan yang diperlukan bagi membantu mangsa-mangsa banjir.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan Seri Paduka Baginda turut menitahkan supaya aspek norma baharu diutamakan di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS) banjir.

"Seri Paduka Baginda turut mengingatkan semua pihak berkuasa berkaitan supaya bersama-sama memikul tanggungjawab meringankan kesusahan dan beban mangsa-mangsa banjir.

"Mengambil kira kenaikan mendadak kes positif COVID-19 harian di negara ini, Seri Paduka Baginda menitahkan supaya aspek norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) untuk membendung penularan wabak COVID-19, menjadi keutamaan di semua PPS dan diamalkan oleh semua petugas dan mangsa banjir," memetik kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka Baginda yang menzahirkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa bencana banjir turut menzahirkan harapan agar mangsa-mangsa ini tabah mengharungi dugaan dan musibah yang telah menimpa mereka.

"Manakala rakyat, khususnya di kawasan rendah, pula dinasihati untuk sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri dan keluarga serta bersedia berpindah ke PPS dengan segera jika diarahkan oleh pihak berkuasa," katanya.

 
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengadakan lawatan mengejut di empat PPS di Maran, Pahang iaitu di SMK Maran, Surau Kampung Jara, SK Kuala Sentul dan Masjid As Syakirin.

Seri Paduka juga berkenan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang berada di PPS tersebut dan mengurniakan sumbangan kepada mereka bagi meringankan beban yang ditanggung.

"Keberangkatan mengejut Al-Sultan Abdullah ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap mangsa banjir dan golongan yang memerlukan bantuan.

"Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada NADMA, Kerajaan Negeri dan Pentadbiran Daerah serta agensi penyelamat dan jabatan kerajaan seperti polis, bomba, tentera, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat yang bertungkus-lumus membantu rakyat setiap kali banjir," katanya.

 
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial

Seri Paduka Baginda pada masa sama mengajak seluruh rakyat bersama Baginda mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda.

Sementara itu, dalam perjalanan menuju ke Maran, Pahang untuk menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir, Seri Paduka Baginda berdua turut berkesempatan berhenti menuruni kenderaan rasmi untuk menyampaikan sumbangan kepada pemandu-pemandu lori yang terkandas akibat kenaikan air banjir di Plaza Tol Karak, lebuh raya Pantai Timur (LPT).

 
Sumber Facebook IstanaNegaraOfficial