DUNGUN: Sepasang suami isteri warga emas merupakan antara 40 mangsa banjir yang berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam.

Ketua Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata kedua-dua mangsa yang berusia lingkungan 80-an dari Kampung Padang Pulut di sini telah dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung Padang Pulut, malam tadi.

"Kami berhadapan detik sukar apabila terpaksa mengangkat bot kami kerana jalannya yang tidak stabil serta ada beberapa kawasan menuju ke rumah mangsa tidak dinaiki air...Alhamdulillah kita dapat keluar ke kawasan selamat," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata kesemua mangsa berjaya diselamatkan dengan kekuatan 35 anggota bomba yang bertugas serta bantuan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

-- BERNAMA