PASIR MAS: Bagi pemilik pusat rawatan Molly Cat Castle di Pasir Mas, Nur Emillia Samsuddin, 39, tidak mungkin dia dan pekerjanya meninggalkan 140 ekor kucing di pusat itu, biarpun kawasan di sekeliling sudah dinaiki air.


Ringkasan AI
  • Nur Emillia Samsuddin dan pekerjanya enggan meninggalkan 140 ekor kucing di pusat rawatan Molly Cat Castle walaupun kawasan sekeliling dinaiki air.
  • Bekalan makanan dan air bersih telah terputus sejak dua hari lepas, menyebabkan mereka terpaksa mencatu makanan kucing untuk memastikan kelangsungan hidup haiwan tersebut.
  • Nur Emillia dan pekerjanya hanya bergantung kepada biskut dan nasi kosong, serta mencatu penggunaan lilin akibat ketiadaan bekalan elektrik.


Astro AWANI yang sedang dalam perjalanan ke Rantau Panjang, berkesempatan meranduk air setinggi dada bagi menjejaki pusat tersebut.

Ketika ditemui, Nur Emillia berkata, bekalan makanan dan air bersih sudah terputus sejak dua hari lepas, tetapi itu bukan sesuatu yang merisaukannya.

“Saya lebih risaukan keadaan kucing-kucing ini, ada yang ditinggalkan tuan mereka untuk dijaga, ada pula kucing yang memerlukan rawatan segera.

“Kami amat berharap sekiranya pihak di luar sana dapat datang berikan bantuan seperti makanan kucing, air, pasir najis, dan ubat-ubatan yang bersesuaian,” katanya ketika ditemui Astro AWANI di Lubuk Jong, pada Sabtu.


Tinjauan kru Astro AWANI mendapati, Nur Emillia dan pekerjanya terpaksa mencatu makanan kucing bagi memastikan kelangsungan hidup haiwan peliharaan itu sementara menantikan bantuan tiba susulan paras air di kawasan itu dikhuatiri tidak akan surut untuk beberapa hari lagi.

Apabila ditanya mengenai keadaan diri dan pekerjanya, Nur Emillia berkata, mereka hanya bergantung kepada biskut dan nasi kosong.

Selain itu, dia juga terpaksa mencatu penggunaan lilin ekoran ketiadaan bekalan elektrik, yang diburukkan lagi dengan situasi bateri telefon yang hampir kehabisan.