Seringkali didapati haiwan seperti ular, serangga, bahkan binatang peliharaan seperti kucing dan ayam, mencari tempat berlindung di dalam rumah atau kawasan yang bersuhu hangat untuk memanaskan badan dari cuaca sejuk ketika banjir.
Satu kejadian berlaku ke atas seorang peniaga, Salahuddien Ayob, 49 tahun, dari Bandar Baru Jelawat di sini semalam, yang digigit ular jenis kadut belang pada hampir waktu Maghrib.
Ketika dihubungi Astro AWANI, Salahuddien memaklumkan, ketika itu, beliau menanggalkan selipar untuk naik ke rumahnya.
"Lima minit kemudian, saya turun (ke luar rumah) kembali dan bergegas untuk ke masjid untuk solat Maghrib," katanya.
"Ketika menyarung selipar, saya rasa suatu gigitan yang menyebabkan saya terkejut, lantas menarik kaki saya sebelum melihat seekor ular mengigit di bahagian bawah buku lali saya.
"Ular itu terikut dengan bahagian taringnya melekat di bawah buku lali saya, sebelum saya hayunkan kaki, menyebabkan ia terjatuh."
Selepas itu, kata Salahuddien, terdapat cebisan taring ular berkenaan yang masih ada di bahagian bawah buku lalinya.
"Saya rasa sakit sedikit, seperti digigit semut api. Saya abaikan kerana hendak ke masjid. Namun, jemaah masjid meminta saya dapatkan rawatan di hospital," jelasnya.
Atas nasihat rakan-rakan, dia mendapatkan rawatan di Hospital Bachok sebagai pesakit luar.
"Saya disuntik ubat, dan kakitangan hospital termasuk doktor yang merawat saya memberi perhatian dan khidmat nasihat yang baik.
"Saya diminta datang ke hospital semula sekiranya terdapat jangkitan atau bengkak," tambahnya.
Salahuddien berkata, ular sepanjang 1 kaki itu dipercayai mencari perlindungan dari kucing peliharaannya.
Menurutnya, kawasan perkarangan rumahnya turut dinaiki air sedalam paras paha ketika banjir gelombang pertama baru-baru ini.
Keadaan Salahuddien stabil selepas mendapat rawatan di hospital.
Bagaimanapun, insiden itu meninggalkan kesan trauma kerana ia pertama kali berlaku ke atas dirinya yang turut berpesan kepada mangsa banjir yang pulang ke rumah dari PPS supaya berhati-hati ketika membersihkan rumah mereka.