MARANG: Sebut sahaja ular, pasti ramai yang bukan sahaja berasa takut tetapi juga geli dengan reptilia yang satu ini.
Membayangkan juga kulitnya yang licin serta bersisik dengan taring yang tajam dan mungkin berbisa, sudah cukup untuk membuatkan ramai yang meremang bulu roma.
Apatah lagi jika haiwan itu 'terlepas' masuk ke dalam rumah dan membuat sarang termasuk di atas siling rumah, seperti beberapa kejadian yang dilaporkan media tempatan dan tular di media sosial.
MODUL LATIHAN KHAS
Hakikatnya bukan mudah untuk berhadapan dengan reptilia yang boleh membunuh ini, sekiranya tiada kepakaran serta penggunaan teknik tertentu.
Lebih-lebih lagi jika yang cuba mengendalikan kes itu diserang panik, situasi mungkin akan menjadi lebih berisiko dan hanya membahayakan individu terlibat.
Menurut Ketua Jurulatih Skuad King Cobra (SKC) yang juga Pegawai Bomba Kanan ll di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai Safiq Mohamad, 30, dalam situasi inilah pasukan khas SKC akan datang untuk menangani masalah yang dihadapi oleh penduduk.
SKC yang ditubuhkan pada tahun 2015 adalah satu-satunya pasukan pengendalian ular yang ditubuhkan oleh Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kekuatan 20 orang anggota di seluruh negara, dan enam orang daripadanya ditempatkan di akademi itu.
Skuad berkenaan mempunyai modul latihan khas yang dibukukan dan sentiasa ditambah baik setiap setahun sekali, demi mempersiapkan ahli pasukan dengan segala ilmu berkaitan pengendalian ular berbisa dan tidak berbisa.
"Modul latihan juga perlu ditambah baik sekerap mungkin memandangkan terdapat lebih 200 spesies ular di Malaysia yang kebanyakannya masih belum dapat dikenal pasti. Setakat ini, hanya sekitar 20 spesies dari jumlah itu yang biasanya dikenal pasti hidup dalam kawasan penempatan manusia.
"Memandangkan ular adalah hidupan liar yang berpotensi membawa ancaman, kita perlu sentiasa melakukan latihan 'snake confidence' di dalam ruangan kaca yang terdapat di dalam Galeri Latihan Ular di sini. Langkah ini supaya pasukan dapat membiasakan diri dengan ragam dan tindak tanduk ular seperti ular tedung selar (King Cobra), ular senduk (Monocled Cobra) dan ular sembur (Spitting Cobra)," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Ketika sesi temu bual itu, penulis berpeluang menyaksikan pasukan SKC beraksi mengendalikan latihan pengendalian ular, melibatkan empat orang pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Brunei dan 10 orang pegawai bomba dari Akademi Bomba dan Penyelamat seluruh Malaysia yang menetap di situ selama sebulan sejak 1 Ogos lepas.
DIASINGKAN IKUT SPESIES
Mengulas lanjut, Safiq yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan berkata, terdapat 17 jenis ular berbisa dan tidak berbisa di galeri itu, antaranya ular sawa batik (Reticulated Python) dan ular kapak tokong (Wagler's Pit Viper).
Semua ular didaftarkan sebagai 'aset hidup' bagi membolehkan pihaknya mendapatkan peruntukan sumber makanan dan pemeriksaan kesihatan setahun sekali oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
"Ular-ular ini diasingkan mengikut spesies dan ditempatkan di dalam ruangan kaca khas kerana boleh 'bergaduh' sekiranya dikumpulkan sekali bersama spesies yang berlainan.
"Ular yang biasa kita gunakan untuk latihan adalah ular sawa batik dan tedung selar sebab ular jenis ini yang biasa masuk ke kediaman orang ramai. Ular ini akan dibiarkan menjalar dekat kaki dan badan kita ketika latihan sedang dijalankan," katanya menambah, latihan teknik menangkap ular perlu kerap dilakukan.
Ditanya mengenai operasi menangkap ular yang diterima daripada orang ramai menerusi talian 999, Safiq yang sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata berkata, kebiasaannya balai bomba berdekatan akan menghantar pasukan untuk mengendalikannya sekiranya panggilan yang diterima pada waktu bertugas.
"Namun sekiranya panggilan diterima selepas waktu bekerja, pasukan SKC akan membantu secara sukarela tanpa bayaran untuk menjalankan operasi berkenaan.
"Kami akan berbincang siapa yang berkelapangan untuk segera ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi menangkap ular dan paling kurang mesti ada dua orang staf untuk membuat operasi berkenaan," tambahnya.
Setiap anggota pasukan SKC menyiapkan peralatan operasi seperti 'snake tong' untuk mengepit bahagian leher ular bersaiz kecil dan sederhana, 'snake pole' untuk ular bersaiz besar, dan 'snake hoop bag' sebagai beg penyimpanan sementara ular yang ditangkap.
Setakat ini, SKC menerima kira-kira 300 panggilan setahun melibatkan kes ular di sekitar negeri Terengganu, manakala pihak JBPM pula menerima hampir 20,000 kes berkaitan ular di seluruh negara setiap tahun.
JANGAN MUDAH PANIK
Menurut Safiq, apabila cuaca terlampau panas, sebagai haiwan reptilia berdarah sejuk, ular lazimnya akan keluar dari habitatnya untuk mencari kawasan lebih sejuk dan lembab untuk berlindung, justeru tidak hairanlah sekiranya ada yang menjalar sehingga ke dalam rumah atau premis yang lain.
Sambil menasihati orang ramai agar tidak panik sekiranya ular masuk ke rumah mereka, beliau berkata. ular adalah haiwan yang bersifat defensif dan hanya akan mematuk sekiranya ada yang memprovokasinya.
"Jangan mengganggu atau mengancam ular itu dan pastikan ia dikurung di dalam ruangan tertutup.
"Ketika berhadapan terutama dengan ular berbisa, pastikan berada pada jarak selamat iaitu sekitar dua meter dari ular dan segera menghubungi 999 ataupun pihak SKC. Pastikan ular berada dalam kawasan 'kuarantin' sehingga pasukan penyelamat tiba," katanya.
Menurut Safiq, sekiranya ada mangsa dipatuk ular, perkara utama yang perlu dibuat ialah mengecam spesies ular sama ada berbisa atau tidak, dan lebih baik sekiranya dapat menangkap gambar ular untuk dikongsikan kepada pihak berwajib seperti bomba dan hospital.
"Jika dipatuk, terus bergegas ke hospital kerajaan bukannya ke klinik ataupun hospital swasta. Ini kerana 'antivenom' hanya boleh didapati di hospital kerajaan.
"Kita tidak ingin membazirkan 'masa emas' sekiranya dipatuk ular berbisa seperti tedung selar. Bahagian yang dipatuk pula perlulah dibalut dengan kain anduh namun jangan terlalu ketat bagi mengelakkan kesan bisa patukan merebak ke tempat lain.
"Orang ramai juga jangan sesekali berani untuk menyedut keluar bisa ular, biar pihak penyelamat melakukannya kerana mereka lebih terlatih," katanya menambah, ular tedung selar adalah ular berbisa jenis 'neurotoxin' yang menyerang saraf mangsa dan boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat segera.
Safiq juga berkongsi pengalaman beliau pernah hampir dipatuk ular tedung selar betina sepanjang dua meter ketika membuat satu operasi pada Mac lepas di sebuah rumah di Kampung Serada, Kuala Terengganu.
"Ketika itu ular berada di atas bumbung dan saya perlu panjat untuk menangkapnya. Tiba-tiba zink bumbung yang saya pijak pecah dan kaki kanan terperosok. Ketika itulah ular itu hampir mematuk tetapi mujur kaki kiri sempat menepis kepala ular," katanya.
Mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut maklumat berkaitan ular dan melihat aksi lincah pasukan SKC menjalankan operasi boleh berbuat demikian dengan melayari YouTube dengan carian 'squad king cobra channel'.
Setakat ini, SKC melatih anggota Tentera Udara Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia selain menjalankan kerjasama dengan beberapa negara luar seperti pasukan tentera Amerika Syarikat dan Brunei sebagai usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara rujukan bagi modul pengendalian haiwan dan ular berbisa.
"Banyak pihak yang berminat untuk membuat latihan dengan SKC khususnya pasukan kecemasan dan penyelamat di kilang dan agensi kerajaan yang lain. Mereka akan dilatih dengan pelbagai latihan termasuk kelas teori pengenalan ular dan kepelbagaian spesiesnya serta rawatan awal terhadap mangsa patukan ular," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Mon Aug 28 2023
Safiq (kiri) memberi tunjuk ajar cara mengendalikan ular pada Kursus Asas Pengendalian Haiwan Berbisa (Ular) di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur Wakaf Tapai. - Foto BERNAMA
Pantau Belanjawan: Lonjakan Pelaburan Malaysia: Pacu Momentum 2025
Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin mengupas berkenaan prestasi pelaburan tahun 2024 dan bagaimana momentum kukuh ini boleh diteruskan pada 2025.
The need for Regulation of Property Management Practice under Act 242 & BOVAEP
How gaps in regulation put property owners, tenants, and the real estate market at risk. Join Director, Research, Sr Sulaiman Saheh Explore as he explore critical need for robust property management regulations to safeguard public interest and elevate industry standards.
AWANI Ringkas: JPS ramal banjir di sembilan jajahan Kelantan
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Kapal NASA terbang ke atmosfera luar matahari
Kapal angkasa Parker Solar Probe, projek perintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) mencipta sejarah terbang ke dalam atmosfera luar matahari, dikenali sebagai korona, dalam misi untuk membantu saintis mengetahui lebih lanjut mengenai bintang terdekat Bumi.
Penumpang pakai topeng oksigen sebelum terhempas
Penumpang pesawat Embraer EMBR3 Azerbaijan Airlines dilihat memakai topeng oksigen kabin sebelum pesawat itu terhempas di lapangan terbang Aktau, Kazakhstan pada Rabu.
Lima wartawan terbunuh di Gaza dalam serangan udara
Lima wartawan terbunuh awal pagi Khamis apabila kenderaan mereka terbakar dalam serangan udara di sekitar Hospital Al-Awda di Nuseirat di tengah Gaza.
Banjir Raub pulih sepenuhnya
Seramai 89 mangsa daripada 28 keluarga masih berada di dua pusat pemindahan sementara di daerah Lipis.
Apple beri sebab kenapa tidak akan bangunkan enjin carian tersendiri
Apple memilih untuk bekerjasama dengan Google, yang membayar sekitar $20 bilion untuk menjadi enjin carian utama pada peranti Apple.
Perjanjian gencatan senjata Gaza ditangguh
Kumpulan Palestin, Hamas berkata bahawa perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan di Gaza ditangguhkan akibat syarat baharu yang ditetapkan oleh Israel.
Dua beranak maut, empat cedera dalam kemalangan di WCE
Dua beranak maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer (KM) 212.3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke selatan dekat Manjung, awal pagi Khamis.
Skuad King Cobra wira rakyat tangkap ular
Sebut sahaja ular, pasti ramai yang bukan sahaja berasa takut tetapi juga geli dengan reptilia yang satu ini.