JERTIH: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Besut menangkap lebih 400 ekor ular pelbagai spesies sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL).

Pegawai Operasi APM Daerah Besut Mohd Fazli Mat Yusof berkata jumlah tangkapan itu direkodkan bermula November lepas hingga Januari tahun ini.

"Jumlah tangkapan yang tinggi sepanjang musim itu kerana reptilia berkenaan cenderung mencari tempat berlindung apabila habitatnya dipenuhi air.

"Justeru itu, hidupan berkenaan mencari tempat berlindung termasuk di rumah atau kawasan kediaman penduduk," katanya ketika ditemui di Pejabat APM Daerah Besut di sini hari ini.

Beliau berkata antara spesies ular yang banyak ditangkap ialah ular sawa batik, ular sawa tikus, ular senduk sembur, ular sudu liar dan ular gading wat.

-- BERNAMA