Ringkasan AI
- Calon Terjejas Banjir: Seramai 5,377 calon SPM terjejas akibat banjir di Kelantan (3,111 pelajar), Terengganu (1,734 pelajar), dan Kedah (532 pelajar).
- Pemindahan Calon: KPM sedang giat memindahkan calon-calon SPM ke asrama dengan bantuan JPN dan pihak keselamatan, dengan pemindahan di Kedah dan Terengganu hampir selesai.
- Keadaan Terkawal: Terdapat calon SPM terjejas di negeri lain, tetapi jumlahnya sangat minimum dan dalam keadaan terkawal.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata setakat ini, Kelantan merekodkan jumlah calon tertinggi iaitu seramai 3,111 pelajar, manakala bakinya 1,734 calon di Terengganu dan 532 orang di Kedah.
"Pihak kami baru sahaja selesai dengan pihak JPN, dan kita sudah pun memastikan perkara tersebut dapat diselesaikan dengan segera.
"Pemindahan itu berdasarkan maklumat yang kita dapat sebentar tadi daripada JPN Kelantan, sudah pun diselaraskan.
"Jadi pemindahan calon-calon SPM ini sedang diuruskan sepenuhnya bersama dengan JPN juga pihak keselamatan. Hari ini kita akan selesaikan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas KPM pada Ahad.
Mengenai perkembangan proses pemindahan semasa, Fadhlina berkata, kerja menyelamat dan menguruskan calon SPM terjejas banjir sedang giat dijalankan terutama di tiga negeri terbabit.
Menurut beliau, setakat ini, di Kedah dan Terengganu sudah selesai sepenuhnya kecuali di Kelantan dan pihaknya percaya ia boleh diselesaikan hari ini.
"Dalam proses, sekarang ini pemindahan sedang berlaku. Hari ini kita mesti selesaikan semua pemindahan tersebut.
"Jadi ketiga-tiga negeri, JPN negeri sedang bekerja keras untuk memindahkan semua.
"Kedah kita dah selesai, Terengganu selesai sepenuhnya, yang tinggal Kelantan sedikit lagi yang kita percaya hari ini kita akan selesaikan," katanya.
Fadhlina berkata, terdapat calon SPM di negeri lain yang terjejas akibat banjir, namun jumlahnya sangat minimum iaitu kurang 15 orang dan dalam keadaan terkawal.