KUANTAN: Bilangan mangsa banjir di Pahang  menunjukkan sedikit peningkatan  kepada 2,317 orang daripada 706 keluarga yang  berlindung di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam  daerah sehingga jam 8 pagi ini.

Sekretariat Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam satu kenyataan berkata, berbanding laporan jam 12 tengah malam tadi, iaitu seramai 2,311 orang daripada 703 keluarga melibatkan daerah Rompin, Pekan, Maran, Bera, Temerloh dan Jerantut.

"Rompin menjadi daerah paling ramai mangsa banjir iaitu 1,905 orang daripada 593 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS.

"PPS Sekolah Kebangaaan (SK) Denai menempatkan 313 mangsa, Balai Raya Bandar Perwira Jaya (7), Balai Raya Kampung Rekoh (142), Dewan Orang Ramai Bukit Ibam (66), SK Bukit Nipis (103), Balai Raya Kampung Mikang (12), PPS Kampung Setajam (87) dan Balai Raya Lubuk Batu (45).

"Selain itu, PPS Dewan Orang Ramai Bandar Tun Razak menempatkan 171 mangsa, SK Keratong (253), Balai Raya Bukit Lepas (30), SK Kampung Aur (70), SK Keratong 1 (239), Surau Kampung Meripoh (5), SK Pianggu (308) dan Balai Raya Kampung Gadak (54)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

LAPORAN KOMPREHENSIF BANJIR DI SINI 

Foto ihsan JKM Rompin

Menurutnya, bagi daerah Pekan, PPS Dewan Semai Bakti Chini 1 menempatkan 56 mangsa dan Dewan Semai Bakti Chini 3 pula seramai 50 mangsa.

Selain itu, di Maran, PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian menempatkan 13 mangsa dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak di Jerantut menempatkan 10 mangsa.

"Bagi daerah Bera pula, Dewan Kampung Pasal menempatkan 29 mangsa manakala 254 mangsa ditempatkan di Dewan SMK Seri Semantan, Temerloh," jelasnya.

Sementara itu, menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), empat sungai menunjukkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Triang di Triang, Bera; Sungai Pahang di Lubok Paku, Maran; Sungai Pahang di Paloh Inai, Pekan dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin.

Tiga lagi sungai merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Lipis di Batu Malim, Raub; Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera; dan Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran.

Manakala enam sungai mencatatkan bacaan air melepasi paras waspada iaitu Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab; Sungai Pahang di Lubuk Pasu, Temerloh; Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan; Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan; Sungai Pahang di Waterfront, Bera; dan Sungai Pahang di Kampung Chenor, Maran.

Foto ihsan JKM Rompin