Ringkasan AI
- Aktivasi PKOB Pusat: NADMA mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat (PKOB) untuk menyelaras dan memantau operasi menyelamat serta pengurusan mangsa banjir.
- Permohonan Bantuan Tambahan: PKOB negeri Kelantan memohon khemah tambahan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat memohon tambahan makanan retort untuk mangsa banjir.
- Situasi Banjir Terkini: Kelantan dan Terengganu menghadapi banjir buruk dengan jumlah mangsa meningkat, dan semua aset telah digerakkan untuk menghadapi bencana yang lebih serius.
NADMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan PKOB Pusat diaktifkan bertujuan untuk menyelaras semua PKOB negeri yang sedang mengurus bencana banjir.
"Penyelarasan termasuklah aset-aset dan keperluan logistik, mengatur gerak pasukan penyelamat serta lain-lain keperluan yang merentas negeri masing-masing," menurut kenyataan itu.
Menurut NADMA, memandangkan jumlah mangsa telah meningkat secara mendadak di Kelantan, pihak PKOB negeri itu telah memohon khemah tambahan Collapsible Tenat (C-Tent) untuk ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat pula telah memohon tambahan makanan retort sebanyak 50,000 unit untuk diagihkan di PPS seluruh negara," menurut NADMA.
Kenyataan itu memaklumkan Pasukan Khas Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) juga telah digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di negeri-negeri yang terjejas terutamanya Kelantan.
Mengulas mengenai situasi banjir ketika ini, NADMA memaklumkan ketika ini Kelantan dan Terengganu sedang berhadapan dengan situasi banjir yang buruk dan menurut Jabatan Meteorologi Malaysia hujan sangat lebat berterusan (bahaya) sehingga esok berkemungkinan boleh menyebabkan banjir yang lebih besar.
Justeru, NADMA memaklumkan bahawa semua aset telah digerakkan untuk menghadapi bencana yang lebih serius sekiranya berlaku.
Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) NADMA pada 6 pagi tadi, jumlah mangsa yang ditempatkan akibat banjir di seluruh negeri adalah seramai 80,589 orang dari 24,647 keluarga, dengan empat kematian direkodkan di Kelantan, Terengganu dan Sarawak.
Terdapat 27 daerah yang terkesan dan sebanyak 467 buah PPS diaktifkan di tujuh negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor.
NDCC NADMA yang beroperasi 24 jam setiap hari akan sentiasa memantau dan menyediakan laporan terkini situasi banjir di seluruh negara sebagai rujukan semua.
"Amaran bencana seperti amaran hujan berterusan dan amaran banjir akan disampaikan kepada semua agensi tindak balas berdasarkan prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.
"Ini termasuklah kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bertindak sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Darerah dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri," menurut kenyataan.
NADMA turut menasihati orang ramai agar berwaspada dengan keadaan cuaca semasa dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, peka dengan pengumuman melalui media massa dan mengikut arahan untuk berpindah sekiranya diarahkan berbuat demikian.
Maklumat dan amaran cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi myCuaca, serta MET Malaysia Hotline di talian 1-300-22-1638 dan portal bencana nadma di www.portalbencana.nadma.gov.my.
-- BERNAMA