KUALA LUMPUR: Bencana banjir yang melanda menimbulkan pelbagai persoalan mengenai kecekapan agensi kerajaan dalam mengurus bencana dan menyalurkan bantuan kepada mereka yang paling terkesan dengan segera.

Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia (MBM), Hanapi Jamaludin berpendapat, situasi itu menambah momentum 'rakyat jaga rakyat', apatah lagi rakyat sudah lama muak dan mual dengan ketidakstabilan politik yang sekali gus membawa kepada ketidakcekapan mengurus krisis kesejahteraan awam.

"Ini memberi mesej, kalau saya boleh kata sebagai penolakan, ini memberi kesan kepada kesihatan demokrasi. Kita boleh lihat semasa Pilihan Raya Negeri Melaka, hanya 60 peratus sahaja yang turun mengundi.

"Itu isyarat rakyat rasa mereka tak perlu bergantung lagi kepada kerajaan dan menyebabkan mereka menggerakkan agenda sendiri seperti 'kita jaga kita' dan 'rakyat jaga rakyat'," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.

Pendekatan agensi kerajaan yang lebih bersifat birokrasi manakala badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi swasta yang lebih bebas, perlu diselaras bagi membolehkan adanya sistem yang lebih tersusun dalam menyelia situasi bencana.

"NGO tumbuh begitu subur di negara kita. Secara governance, mereka lebih bebas dalam menggerakkan inisiatif serta mobilisasi bantuan sampai kepada kelompok sasar.

"Kami sendiri turun padang membantu dan ada mendengar serta melihat bantuan tak sampai di sesetengah tempat, manakala ada pula tempat yang bantuannya terlebih pula.

"Jadi kedua-dua pihak perlu fikir alternatif terbaik," ujarnya.

Kewujudan banyak NGO merupakan petanda baik bagi perkembangan negara demokratik, progresif dan maju, namun dalam masa yang sama, kerajaan tidak boleh lepas tangan terutama dalam menggalas tanggungjawab sebagai pemegang kuasa utama dalam negara.

"Kita perlu sokong NGO kerana mereka ini berperanan sebagai agensi check and balance, sistem mereka tak tertakluk birokrasi, mereka ada speed.

"Yang perlu sekarang ialah mekanisme untuk memastikan ketelusan dalam dana yang dikumpul supaya kelompok sasar terima hak mereka.

"Tapi dalam masa yang sama, dalam sosiopolitik, peranan kerajaan sebagai regulator kuasa pertama, mereka sepatutnya dengan kemampuan yang ada, dapat memudahkan apabila terjadi perkara tidak dijangka seperti ini," katanya lagi.


Bencana Banjir | Kepercayaan rakyat terhadap ahli politik