SUNGAI SIPUT: Hujan lebat yang berlaku malam Sabtu menyebabkan Taman Muhibbah Jaya II di sini, dilanda banjir kilat.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, mereka menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 10 malam.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, didapati berlaku banjir kilat di kawasan perumahan berkenaan melibatkan antara 60 hingga 70 buah rumah.

“Paras air kira-kira satu meter tetapi tiada pemindahan mangsa dilakukan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Menurut jurucakap itu, operasi pemantauan dilakukan oleh pihak bomba bagi memastikan tiada mangsa terperangkap.