SEREMBAN: Sebanyak 75 mangsa daripada 23 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS), setakat 10 pagi hari ini susulan banjir kilat di Port Dickson dan Rembau yang bermula kira-kira 8 malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata tiga kawasan terjejas di Port Dickson membabitkan Kampung Sawah Sunggala, Kampung Si Rusa Dalam dan Kampung Linggi.

Di Rembau dua kawasan terkesan, iaitu Kampung Lubuk China dan Kampung Nerambai yang berada dalam DUN Kota.

"Semua mangsa masih ditempatkan di PPS. Kerja-kerja mengemas rumah dilakukan sebaik paras air surut," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata berikutan keadaan cuaca yang baik, PPS tersebut dijangka ditutup hari ini, namun pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan bersiap siaga.

-- BERNAMA