Bagaimanapun, beliau berkata kejatuhan itu dihadkan oleh harga minyak yang stabil, kebimbangan terhadap bekalan yang terbatas disebabkan cuaca buruk di Thailand dan Malaysia serta keyakinan terhadap potensi pemotongan kadar faedah AS.
"Niaga hadapan getah Jepun kekal stabil pada Khamis kerana kebimbangan terhadap permintaan yang tidak menentu dan penurunan harga getah sintetik yang sebahagiannya mengimbangi kesan gangguan bekalan dari Asia Tenggara ekoran cuaca buruk," katanya kepada Bernama.
Peniaga itu juga berkata harga minyak meningkat sedikit di pasaran Asia pada Khamis didorong oleh pengurangan dalam stok yang lebih besar daripada jangkaan dalam inventori AS dan meningkatnya ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
Bagaimanapun, kenaikan dihadkan oleh peningkatan dalam inventori produk AS dan perdagangan yang berhati-hati menjelang mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) pada lewat hari ini, yang dijangka memberikan lebih banyak petunjuk tentang trend bekalan," tambahnya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Thailand telah memberi amaran tentang hujan lebat dari 4-5 Dis dan berpotensi berlanjutan sehingga 6 Dis yang boleh menyebabkan banjir kilat dan bencana sektor pertanian yang ketara.
"Cuaca buruk yang sedang berlaku di Asia Tenggara semakin meluas, tanpa sebarang tanda akan reda. Memandangkan peralihan corak cuaca dari El Nino ke La Nina, gangguan ketara kepada pengeluaran getah asli akan berlaku, sekali gus menaikkan semula harga," tambahnya.
Pada tengah hari, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 5.5 sen kepada 911.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 4.5 sen kepada 684.0 sen sekilogram.
Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 906.0 sen sekilogram, manakala susu getah pukal pada 687.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA