TAIPING: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sini, malam tadi, bagi menempatkan 102 mangsa dari lima kampung yang dilanda banjir kilat.

Dua PPS itu ialah di Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Ngah Ibrahim Al Baraqah dan Dewan Orang Ramai (DOR) Sungai Baru.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, PPS di SRAR Ngah Ibrahim Al Baraqah menempatkan 87 mangsa dari 25 keluarga di tiga buah kampung.

Katanya, kampung-kampung itu ialah Kampung Sungai Rentaka, Matang; Kampung Changkat Baru dan Kampung Jebong Kiri.

“PPS di DOR Sungai Baru pula menempatkan 15 keluarga dari empat keluarga dua buah kampung iaitu Kampung Sungai Nyior dan Kampung Sungai Tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut jurucakap itu, PPS di SRAR Ngah Ibrahim Al Baraqah dibuka pada jam 9.50 malam manakala PPS di DOR Sungai Baru dibuka pada 12.01 pagi tadi.