BENTONG: Keadaan banjir kilat di beberapa perkampungan di Janda Baik sejak awal pagi tadi dilihat beransur pulih apabila paras air semakin surut mulai jam 7.00 pagi tadi.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sepasukan anggota yang melakukan pemantauan di kawasan terbabit melaporkan keadaan itu, namun terdapat penambahan jumlah mangsa yang berpindah.

Difahamkan, sehingga jam 11 pagi tadi, jumlah mangsa yang terlibat dengan banjir kilat ini meningkat kepada 140 keluarga membabitkan 450 orang mangsa.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Bentong, Ahmad Hafizi Che Daud berkata, penambahan mangsa di empat kampung terlibat tidak membabitkan sebarang pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Tiada PPS dibuka, dan tiada kecederaan dilaporkan. Anggaran kerugian keseluruhan masih belum ada dan ia mungkin akan mengambil masa antara satu atau dua minggu untuk dikenal pasti," katanya.

Antara kampung terjejas teruk termasuk Kampung Sum Sum, Kampung Pulau Santap, Kampung Chemperoh dan Kampung Cheringin.

Sementara itu, berdasarkan kenyataan laporan bencana yang dikeluarkan pihak Roadcare (M) Sdn. Bhd, Jalan Kuala Lumpur - Bentong (lama) terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan bagi kerja-kerja pembersihan.

"Lokasi jalan yang ditutup itu adalah 100 meter ke simpang Janda Baik, namun pengguna boleh menggunakan jalan alternatif di laluan E8 Lebuhraya KL-Karak.

"Juga terdapat tanah runtuh akibat hakisan di sebelah LHS. Culvert telah tersumbat di sebelah inlet dengan sisa pokok dan batu. Terdapat batu-batu melimpahi jalan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kerja pemasangan TCP dilakukan oleh pihak Roadcare bagi memberi amaran kepada pengguna, selain kerja pembersih sedang giat dijalankan.


Cerita Sebalik Berita: Perkembangan banjir di Janda Baik