Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, syarikat di bawah kementerian itu perlu proaktif melaksanakan CSR tanpa menunggu arahan untuk berbuat demikian.
"Saya berpandangan syarikat dan agensi yang mengutip hasil seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) perlu terlibat dengan melakukan CSR pada rakyat.
"Ini antara contoh kecil, saya turun padang dan mereka (Kastam) membantu rakyat yang ditimpa musibah dengan memberikan bantuan barangan keperluan berbentuk beras serta kain batik," katanya semasa sidang akhbar pada Program Penyampaian Bantuan Bencana Banjir di Pejabat Tanah dan Jajahan Machang di sini pada Selasa.
Menurut beliau, CSR tersebut bukan sahaja fokus kepada banjir tetapi bencana lain seperti kebakaran, ribut dan sebagainya.
Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Pontian itu memberitahu, sebanyak 800 bungkusan makanan disumbangkan oleh Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kepada mangsa banjir di jajahan Machang. - Sinar Harian