Banjir kedua melanda kawasan Changkat Jong, di Teluk Intan, dekat sini menyebabkan 146 orang daripada 41 keluarga dipindahkan selepas ban Sungai Bidor pecah akibat hujan lebat dan air melimpah ke kawasan penempatan malam tadi.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata kesemua mangsa dipindahkan pada 9.20 malam tadi ke Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong.

Penduduk yang terjejas dari tiga penempatan iaitu di Lorong Mesra di Batu 7; Lorong Setia di Batu 11 dan Kampung Batu 9.

"Berikutan hujan lebat, paras air Sungai Bidor semakin naik, setakat pagi ini ia mencecah 3.72 meter iaitu melepasi paras bahaya pada 3.5 meter," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata cuaca pada sebelah pagi ini tidak hujan dan kerja-kerja pemindahan mangsa yang terjejas ke pusat pemindahan banjir masih diteruskan.

Pada 14 November lepas, 56 orang daripada 16 keluarga yang mendiami Lorong Mesra dipindahkan ekoran banjir yang melanda kawasan Changkat Jong selepas berlakunya limpahan air Sungai Bidor susulan hujan lebat.

Bagaimanapun, kesemua mereka dibenarkan kembali ke rumah masing-masing empat hari kemudian sebelum banjir kedua melanda semula kali ini.

Sementara itu, keadaan banjir di Terengganu terus beransur baik dengan hanya 247 mangsa berada di pusat pemindahan pagi ini berbanding 250 orang, malam tadi.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, hanya sebuah pusat penempatan masih beroperasi sehingga 9 pagi ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak.

Dua pusat pemindahan sebelum ini iaitu SK Tok Jiring Kuala Terengganu dan SK Pasir Puteh Marang telah ditutup petang semalam, apabila semua mangsa dibenarkan pulang.

Cuaca di Kuala Terengganu sedikit cerah, pagi ini.