KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah dan Perlis terus meningkat setakat 8 malam ini manakala di Pulau Pinang merekodkan sedikit penurunan.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS meningkat kepada 2,882 orang setakat 8 malam ini berbanding 2,108 orang petang tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata mereka terdiri daripada 785 keluarga dari enam daerah iaitu Kubang Pasu, Pendang, Kulim, Pokok Sena, Kuala Muda dan Kota Setar yang dipindahkan ke 22 PPS.

"Jumlah mangsa banjir di daerah Kota Setar meningkat kepada 1,096 orang daripada 279 keluarga dan mereka ditempatkan di lima PPS yang mula dibuka semalam manakala di Pokok Sena, seramai 747 mangsa daripada 203 keluarga ditempatkan di dua PPS di daerah itu.

"Di Kubang Pasu seramai 460 mangsa daripada 143 keluarga ditempatkan di enam PPS manakala seramai 409 mangsa daripada 100 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Pendang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata di Kulim, seramai 108 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di tiga PPS manakala seramai 62 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di tiga PPS di daerah Kuala Muda.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan satu lagi sungai berada pada paras bahaya iaitu Sungai Sedim di Kampung Sedim, Baling, sekali gus menjadikan 10 sungai di Kedah melebihi paras bahaya.

Sembilan lagi sungai yang berada pada paras bahaya ialah Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Kota Setar; Sungai Padang Terap di Kepala Batas; Sungai Bata di Kampung Bata; Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu; Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar.

Selain itu, Sungai Titi Kerbau di Kubur Panjang, Pendang; Sungai Perik di Kampung Perik, Padang Terap dan Sungai Gurun di Kampung Perupok, Yan turut pada paras bahaya.

Di PERLIS, mangsa banjir meningkat kepada 59 orang daripada 20 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 45 mangsa daripada 15 keluarga petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud dalam kenyataan malam ini berkata 26 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS SK Sena, Kangar manakala 33 mangsa daripada lapan keluarga berada di PPS SK Arau.

Katanya kesemua mangsa adalah dari Kampung Tok Kandang di Kangar dan Kampung Titi Besi di Arau.

Dalam pada itu, mengikut laman web rasmi Public Info Banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran, aras air Sungai Arau mencatatkan 21.59 meter (m) iaitu telah melebihi tahap waspada setakat 8.30 malam ini.

Di PULAU PINANG, jumlah mangsa banjir yang masih berada di 10 PPS menurun sedikit kepada 619 orang setakat 7.32 malam ini berbanding 623 orang petang tadi.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang kesemua mereka terdiri daripada 170 keluarga ditempatkan di 10 PPS di tiga daerah iaitu Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

"Seramai 431 mangsa banjir daripada 116 keluarga ditempatkan di empat PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, Sekolah Agama Rakyat Nyior Sebatang dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting.

"Di SPT pula sebanyak empat PPS dibuka menempatkan 126 mangsa daripada 29 keluarga iaitu Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Permatang Pasir, SMK Permatang Rawa dan SK Seri Penanti," menurut laporan itu.

Sementara di SPS, seramai 62 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di Dewan MPKK Sanglang dan Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Sehingga 7.30 malam ini, beberapa kawasan masih mendung dan hujan renyai-renyai.

-- BERNAMA