KLUANG:Seorang penuntut tahun pertama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ditemui lemas selepas keretanya dihanyutkan arus banjir di Kampung Nyior, Kluang, pada Isnin.

Mayat Ikmal Hakimi Mahasan, 20, yang juga korban kedua banjir di negeri ini, ditemui jam 12.20 tengah hari, kira-kira 50 meter dari Perodua Axia miliknya yang turut tenggelam di dalam parit sedalam empat meter.

Mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Ahad apabila tidak pulang selepas keluar untuk ke rumah rakannya, selain telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilakukan di kawasan berhampiran rumahnya selain jalan di Kampung Bentong dan Kampung Melayu Nyior yang dipercayai dilalui mangsa pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Law Hang Seng berkata, kereta mangsa dipercayai dihanyutkan arus selepas sungai berhampiran kawasan itu melimpah.

"Bapa mangsa yang berusia 50 tahun memaklumkan, mangsa memberitahu mahu ke rumah rakannya di Kampung Bentong. Tapi kawasan itu tidak dapat dimasuki kerana jalan dinaiki air.

"Kita difahamkan, mangsa juga ada memberitahu seorang rakannya yang lain bahawa dia mendapat tahu ada jalan lain ke Kampung Bentong iaitu melalui jalan Kampung Nyior," katanya di sini, pada Isnin.

 sebelum itu menemui kereta mangsa tenggelam di dalam parit sedalam empat meter.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Akob Sidek, berkata pihaknya sebelum itu menemui kereta mangsa tenggelam di dalam parit sedalam empat meter.

"Kita kemudian menarik naik kereta itu namun mendapati mangsa tiada di dalam kenderaan berkenaan. Operasi SAR kemudian diteruskan sebelum mayat mangsa ditemui 51 meter dari keretanya.

"Dia kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

BACA: Jangan bahayakan diri redah banjir - Bomba

BACA: Banjir Pahang ragut nyawa pertama: Bapa lemas, anak hilang


Pada Sabtu, seorang wanita, Halijah Majid, 59, menjadi korban pertama banjir di Johor selepas ditemui lemas akibat terjatuh ke dalam parit di Jalan Setia, Kampung Contoh di Kluang.