Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata perkara itu perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang pertindihan ketika memberikan bantuan.
"Kita bukan mahu susahkan NGO tetapi ia bagi memudahkan pengaturan bantuan dan tugas dalam membantu mangsa banjir.
"Jika tidak, nanti akan berlaku pertindihan. Kita sememangnya mengalu-alukan bantuan NGO... kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan," katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lanchang dan SK Mentakab di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata kerajaan Pahang amat berbesar hati atas pertolongan diberikan berdasarkan maklum balas positif yang diterima daripada kebanyakan mangsa banjir negeri ini terhadap layanan kepada mereka.
"Mereka menyatakan rasa puas hati kerana layanan yang diterima sangat baik terutama (membabitkan) makan, minum dan peralatan (bahkan) dari segi PPS juga, kita tidak mendapat sebarang rungutan.
"Saya menasihati orang ramai supaya patuh arahan pihak berkuasa. Jika diminta pindah, segeralah berpindah dan jangan balik sebelum diarahkan balik," katanya.
Beliau berkata pihaknya setakat ini belum bercadang memindahkan kampung yang sering dilanda banjir ke lokasi lain kerana perkara itu memerlukan kajian teliti selain proses mencari lokasi sesuai perlu mengambil tempoh yang panjang.
-- BERNAMA