KUCHING:Fenomena air pasang besar yang mencecah sehingga 6.1 meter bermula jam 6.19 petang tadi menyebabkan banyak kawasan di daerah Kuching, Bau, Samarahan dan Serian terus dinaiki air.

Menurut jurucakap Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Ismail Mahedin, sehingga jam 9.00 malam tadi, sejumlah 49 pusat pemindahan telah dibuka di seluruh negeri, melibatkan 929 keluarga dan 3,518 mangsa.

Banjir Sarawak | Mangsa banjir terus meningkat


Daripada jumlah tersebut, 34 pusat adalah di Bahagian Kuching, yang menempatkan 649 keluarga dan 2,585 mangsa.

“Bahagian Samarahan pula menempatkan 59 keluarga dan 174 mangsa di empat pusat pemindahan manakala Bahagian Serian merekodkan 730 mangsa daripada 217 keluarga di sembilan pusat pemindahan.

“Di Miri, sebanyak dua pusat pemindahan dibuka untuk menempatkan empat keluarga dan 29 mangsa," katanya.

Daripada jumlah itu, terdapat lima pusat baharu dibuka hari ini manakala satu pusat iaitu Pusat Pemindahan Sementara di Balai Raya Kampung Barieng (Kuching) ditutup pada jam 8.20 malam tadi.

BACA: Banjir Sarawak: Lebih 1,800 mangsa dipindahkan setakat 1 petang

BACA: Banjir Sarawak: Dua PPS dinaiki air, hampir 200 mangsa dipindahkan

Sementara itu, menurut Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimansyah, setakat ini pihaknya telah mengendalikan urusan pemindahan dan menyelamat 1,049 mangsa di seluruh negeri, termasuk lapan orang kurang upaya dan 29 bayi dan 255 kanak-kanak.

Gerak kerja pemindahan ini katanya, dilaksanakan sembilan balai bomba dan penyelamat di seluruh negeri, dengan yang paling aktif ialah Balai Bomba dan Penyelamat Bau, Petra Jaya dan Batu Lintang.

“Pada masa yang sama, terdapat lima kes tanah runtuh dilaporkan, melibatkan lokasi Rumah Panjang Panggil Atas (Sri Aman); Lorong Gersik 3 (Kuching); Paya Mebi (Padawan); Grogo (Bau) dan Rumah Cuat Sungai Ribong (Sarikei).”

Pemantauan rapi sedang dilakukan tanpa henti oleh semua pihak yang terlibat, memandangkan hujan masih turun, biarpun tidak seperti 48 jam terdahulu.

Fenomena air pasang besar pada esok (Jumaat) dijangka berlaku pada jam 7.01 malam.

Lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Sarawak