KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Sarawak mula menunjukkan penurunan selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup pada pukul 12 tengah hari Sabtu.

Ia melibatkan PPS Balai Raya Kampung Opar dan PPS Balai Raya Kampung Jugan masing-masing di daerah Bau, bahagian Kuching dengan 48 mangsa telah kembali ke kediaman masing-masing.

Secara keseluruhan, seramai 1,207 mangsa banjir daripada 305 Ketua Isi Rumah (KIR) masih ditempatkan di 18 PPS di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian dan Betong.



Laporan terkini Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberitahu, dua PPS mencatatkan peningkatan mangsa masing-masing di PPS SRB Chung Hua Sejijak dan PPS Dewan Serbaguna Kampung Rimba Padi.

Sementara itu, tiada penambahan mangsa dicatatkan di 14 PPS  dan hanya satu kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Bahagian Serian namun tidak melibatkan orang awam.

Terdahulu, Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kerajaan Sarawak mengerahkan kira-kira 6,000 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi untuk membantu mangsa-mangsa banjir di seluruh negeri ini.

Mereka terdiri daripada seramai 1,124 anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (1,245 orang), tentera (488 orang), Rela (868 orang), Angkatan Pertahan Awam Malaysia (1,011 orang), Kementerian Kesihatan Malaysia (423 orang) dan lain-lain agensi seramai 534.