MARUDI: Sejumlah 530 orang daripada 103 buah rumah di Long Bemang dekat sini terjejas banjir dengan paras air naik sehingga 0.5 meter (1.8 kaki) sejak jam 6 pagi ini.

Status kesemua penduduk ketika ini selamat serta berada di kawasan tinggi namun lokasi banjir dilaporkan air masih belum surut dan trend paras air menaik dengan banyak di kediaman yang terjejas.

Bilik Kawalan Marudi dilaporkan menerima maklumat daripada pasukan bomba sukarela (PBS) Long Bemang mengenai kejadian banjir tersebut pada jam 7.25 pagi.

Susulan itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) mengarahkan PBS untuk menyalurkan maklumat terkini di lokasi kejadian.

“PBS Long Bemang melaporkan status banjir di kawasan Kampung Long Bemang pada paras air 1.8 kaki dan trend air terkini menaik, namun cuaca baik serta cerah.

Foto ihsan bomba

“PBS Long Bemang sentiasa memantau banjir dan menasihati penduduk agar berada di kawasan tinggi,” katanya.

IKUTI SEGALA MAKLUMAT TENTANG BANJIR DI SINI

Jarak balai bomba Marudi ke Kampung Long Bemang adalah sejauh 156 kilometer dan mengambil masa lima hingga enam jam melalui jalan darat dan laluan jalan balak.

Foto ihsan bomba