Walaupun tiada hujan lebat di kawasan sekitar pada Selasa, namun peningkatan paras air di Sungai Langat menyebabkan berlaku limpahan di kawasan hilir.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, air dari sungai berdekatan mula membanjiri jalan utama seawal jam 2 petang dan terus meningkat sehingga ke paras paha empat jam kemudian.
Situasi itu menyebabkan laluan berkenan tidak boleh dilalui oleh kenderaan sehingga berlaku kesesakan trafik terutama ketika waktu puncak.
Puluhan murid di sekolah rendah berdekatan turut terkandas untuk pulang ke rumah masing-masing.
Namun, kesemua pelajar berkenaan selamat dihantar pulang ke rumah dengan bantuan trak polis dan pacuan empat roda penduduk pada jam 8.30 malam.
Setakat jam 9.30 malam, kawasan yang dinaiki air dilihat semakin surut tetapi masih ditutup oleh pihak polis.
Menurut laman Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, kesemua 17 mangsa ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS), di sini, membabitkan tiga keluarga dan jumlah kemas kini akan dimaklumkan kemudian.