SYDNEY: Amaran banjir telah dikeluarkan untuk komuniti di negeri timur laut Australia, Queensland pada Khamis, lapor Xinhua.

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran "Watch and Act" untuk komuniti di sepanjang Jandowae Creek dan kawasan South Burnett, kira-kira 180 kilometer barat laut Brisbane, dengan penduduk di kawasan rendah diminta segera berpindah.

Hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari di tenggara Queensland menyebabkan banjir kilat dan gangguan bekalan elektrik di kawasan itu. 

Lebih 2,000 premis terputus bekalan elektrik pada Rabu malam. Setakat pagi Khamis, bekalan elektrik telah dipulihkan di kebanyakan premis yang terjejas.

Biro Meteorologi (BoM) telah mengeluarkan 12 amaran banjir di seluruh negeri itu pada Khamis, termasuk amaran untuk Logan River di selatan Brisbane.

Perkhidmatan Kecemasan Negeri menerima 145 panggilan untuk bantuan dalam tempoh 24 jam hingga pagi Khamis.

BoM menjangkakan keadaan di tenggara Queensland akan reda pada Khamis, namun ribut dijangka melanda kawasan utara dan barat negeri itu.

-- BERNAMA