IPOH: Bilangan mangsa banjir di negeri Perak menunjukkan peningkatan hari ini dengan 245 mangsa di dua daerah iaitu Hilir Perak dan Kerian berbanding 221 orang malam tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah memaklumkan, seramai 245 orang daripada 77 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Dewan Serbaguna Padang Tembak, Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.

Katanya, sehingga kini kawasan terjejas di Hilir Perak merangkumi Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9, Simpang 3, Batu 10, Batu 7, Lorong Sidang Osman dan Batu 9.

Selain itu, di daerah sama, iaitu Kampung Batu 9 Changkat Jong dan Kampung Kilang Kacang, manakala di Kerian pula melibatkan Kampung Matang Tengah.

"Terdapat 185 mangsa banjir daripada 59 keluarga di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, 41 mangsa daripada 15 keluarga di Dewan MPTI Langkap, manakala di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak pula membabitkan 19 mangsa daripada tiga keluarga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Semalam media melaporkan, dua lagi PPS dibuka di negeri ini akibat hujan lebat melibatkan daerah Hilir Perak dan Kerian membabitkan 182 mangsa daripada 59 keluarga, setakat jam 6 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan dua PPS itu ialah Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Hilir Perak yang dibuka pada 6 petang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak, Kerian yang beroperasi 5.30 petang.