ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 669 sekolah di negeri ini digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 143 sekolah menengah di negeri ini digazetkan sebagai PPS.

Menurutnya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sudah melakukan penyelarasan dan persediaan rapi terutama pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang digazetkan sebagai PPS atau sekolah terjejas bencana banjir.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya mencadangkan agar sekolah rendah terlebih dahulu akan dijadikan PPS terlebih dahulu berbanding Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) bagi memastikan perjalanan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di SMK tidak terganggu.

"Kita tidak mahu ganggu SMK tetapi sekiranya berlaku juga, kaedah susun atur pusat-pusat peperiksaan akan dilaksanakan di mana pusat peperiksaan di SMK kita akan gunakan di bahagian atas dan ada juga sekolah yang terjejas banjir kita akan pindahkan mereka ke pusat peperiksaan lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.

Aznan dalam pada itu menambah aspek atur gerak pelajar berkaitan pengangkutan dikalangan mangsa banjir juga telah diselaraskan sejajar saranan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahu ia diselaraskan lebih awal.

"Untuk penggunaan perkhidmatan, ia sentiasa disokong oleh pelbagai agensi kerajaan, termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak Pengangkutan Awam Johor (PAJ). Sekiranya diperlukan, perkhidmatan trak bas dan sebagainya akan disediakan agar pelajar tidak ketinggalan dalam peperiksaan," katanya.

Aznan berkata pihaknya telah menyediakan senarai sekolah-sekolah yang sering terkesan banjir, seperti di Segamat, Kota Tinggi, dan Batu Pahat, dan segala persiapan telah disusun oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri.

-- BERNAMA